Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Yan terpaksa mengambil masa memujuk seorang wanita agar membenarkan mereka membawa tiga anak lelakinya ke pejabat AADK selepas disyaki menagih dadah di rumah sendiri di Kampung Seri Perigi, Yan pada Sabtu.

Ketua Pegawai AADK Yan Mohamad Ramli berkata tiga beradik itu adalah antara tujuh penagih yang ditahan di rumah keluarga berkenaan yang dipercayai dijadikan sarang penagihan di kampung itu.

"Ibu kepada tiga beradik berkenaan cuba menghalang anggota penguat kuasa dengan mengatakan bahawa anak-anaknya tidak pernah mengambil dadah.

"Kita terpaksa mengambil masa untuk memujuk wanita berkenaan dan ahli keluarganya bagi membolehkan anaknya dibawa ke pejabat AADK Yan," katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Operasi Cegah yang bermula 6 hingga 10 pagi itu dijalankan berdasarkan maklumat orang awam, katanya.

Mohamad berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati enam individu positif dadah jenis opiat manakala seorang lagi positif dadah jenis syabu.

Katanya kesemua lelaki yang berusia 19 hingga 40 tahun itu akan disiasat menurut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983.

--BERNAMA