MALAYSIA
Ibu maut dalam perjalanan ke hospital, kereta dipandu anak kemalangan

Sebuah kereta terbabas di kilometer 30, Jalan Kota Bharu – Kuala Krai, berhampiran kampung Bukit Pulai Chondong, Machang pada Rabu, mengorbankan seorang wanita berusia 61 tahun. Foto PDRM
MACHANG: Hasrat dua beradik untuk membawa ibu mereka ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan tidak kesampaian apabila kereta dinaiki mereka terbabas di kilometer 30, Jalan Kota Bharu–Kuala Krai, berhampiran kampung Bukit Pulai Chondong di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu kedua-dua beradik dalam perjalanan untuk membawa mangsa berusia 61 tahun yang dikatakan tidak sedarkan diri akibat terjatuh dalam bilik air.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, sekitar jam 12.14 pagi pihaknya mendapat makluman wanita terbabit dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pakar USM.
"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan terbabit dipercayai melibatkan sebuah kereta jenis Proton Iriz yang dipandu oleh seorang lelaki bersama abang dan ibunya dari rumah di Taman Gading Galoh, Pulai Chondong."Dua beradik berusia 19 dan 23 tahun ini dipercayai hendak menghantar ibunya yang tidak sedarkan diri selepas terjatuh dalam bilik air ke Hospital Machang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, semasa tiba di kilometer 30, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Kampung Bukit, Pulai Machang kereta terbabit dikatakan hilang kawalan lalu terbabas sendiri dan melanggar konkrit dan pokok yang berada di kiri jalan.
Ujarnya, akibat daripada kejadian itu dua beradik tersebut mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Machang.
Ahmad Shafiki memberitahu, manakala ibu mereka tidak sedarkan diri dan dihantar ke Hospital Pakar USM.
"Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang melihat atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan menghubungi talian 011-19454020 atau 09-9751222," katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami