ALOR SETAR: Ibu kepada penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Nabilah Mohd Azhar, 25, yang putus kaki kanan dalam kemalangan terkena kipas bot akan berlepas ke Carribean, Venezuela pada Khamis (esok).

Bapa penuntut itu, Mohd Azhar Zakaria, 58, berkata isterinya, Nor Manira Khalib, 57, akan ditemani pegawai pengiring Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk melihat keadaan anak bongsu mereka di sana.

“Segala persiapan telah dilakukan termasuk pasport dan visa yang diuruskan phak UUM dan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Caracas, Venezuela.

“Saya menzahirkan kesyukuran kerana pihak UUM dan orang ramai banyak membantu dari segi sumbangan dan doa untuk anak bungsu kami ini segera sembuh,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.



Jelas Azhar, dia dimaklumkan yang anaknya sudah sedar dan semakin sihat selain berharap boleh dibenarkan pulang menjalani rawatan di Malaysia.

Jumaat lalu, Astro AWANI melaporkan Penuntut tahun akhir Ijazah Pengurusan Pelancongan di UUM, Sintok itu putus kaki kanan dan retak lengan kiri akibat terkena kipas bot sewaktu menjalani latihan menyelam di Dive Division Curacao, Carribean, 28 Disember lalu.

Nur Nabilah sedang menjalani latihan industri di negara berkenaan selama enam bulan sejak 24 September tahun lalu.