ALOR SETAR: "Mama sempat siapkan ketupat sejuk beku untuk hidangan kami sekeluarga pada pagi Aidilfitri ini sebelum ditemui meninggal dunia di rumahnya malam tadi".

Demikian kata Muhammad Fazli Adnan, 33, anak kepada Manirah Rafie, 59, yang ditemui meninggal dunia di atas sejadah di ruang tamu rumahnya di Taman Inang, di sini malam Sabtu.

Menurut Muhammad Fazli, dia dan tiga adik-beradik lain masing-masing menetap di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor mendapat berita kematian ibunya kira-kira jam 9 malam.

"Saya dan keluarga tinggal di Bukit Jalil terkejut apabila diberitahu mama tidak sedarkan diri dalam rumah. Pada awalnya saya ingat mama pengsan, tidak sangka mama pergi dahulu," katanya ketika ditemui di rumah arwah di sini pada Ahad.

Katanya, jasad ibu ditemui sepupunya yang ketika itu pergi memeriksa keadaan arwah selepas dia tidak membalas mesej WhatsApp, selain kali terakhir dilihat aktif dalam aplikasi itu pada pukul 7 malam, Khamis lalu.

"Sepupu saya mendapati pintu terkunci dan rumah gelap, namun pendingin hawa berfungsi. Sepupu kemudian menghubungi talian kecemasan sebelum bomba datang memecahkan pintu rumah.

"Arwah mama ditemui dalam keadaan berbaring di atas sejadah di ruang tamu dengan kain telekung di sisi," ujarnya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik.

Katanya, ibunya baru sahaja pulang dari rumah adik perempuannya di Seri Kembangan dan rumahnya di Bukit Jalil pada Isnin lalu.

"Sepanjang berada di rumah adik, mama masak ketupat untuk hidangan keluarga dan tempahan. Arwah kata lepas ini dah tak perlu buat dah ketupat sebab dah nak raya.

"Semasa datang ke rumah saya, arwah mama juga sempat memasak makanan untuk isteri saya yang sedang berpantang. Mama kata makanan ini cukup sampai kami balik raya nanti," ujarnya.

Katanya, ibunya mempunyai sejarah penyakit jantung dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung.

Tambahnya, sambutan raya ini suram tanpa kehadiran ibu, namun dia sekeluarga reda dengan pemergiannya.

"Kalau ikutkan, saya balik beraya di sini Isnin depan dan sepakat berkumpul adik beradik raya di rumah mama tapi apakan daya mama pergi dahulu. Tiada lagi masakan air tangan ibu raya ini," katanya.