BERIKUT adalah senarai berita pilihan pengarang Astro AWANI untuk minggu bermula 1 Feb hingga 7 Feb 2016.

Antara tajuk-tajuk utama minggu lalu termasuk peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah, seekor harimau terbunuh di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan Taiwan dilanda gempa bumi.


Ahad, 7 Feb: Luluh hati tatkala terlanggar harimau

Luahan jurugambar bebas, Syahrin Abdul Aziz, susulan kemalangan kereta MPV yang dipandunya dengan seekor harimau di Lebuhraya Pantai Timur 2, tambah-tambah lagi apabila dia diberitahu harimau betina itu bunting.

Syahrin memberitahu Astro AWANI dia hanya mampu menjerit kalimah Allah sebelum merempuh harimau berkenaan.

Sabtu, 6 Feb: Gempa landa Taiwan

Satu gempa bumi berukuran 6.4 magnitud menggegarkan selatan Taiwan, menyebabkan beberapa buah bangunan runtuh dan nyawa terkorban.

Pasukan penyelamat bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa di kawasan bangunan runtuh di kota Tainan, selatan Taiwan pada 6 Feb. - Foto AFP/Johnson Liu
Harimau belang dirempuh MPV di LPT2

Seekor harimau belang mati selepas dirempuh Hyundai Starex dalam kejadian di KM321.2 Lebuh Raya Pantai Timur 2 di Kemaman awal pagi.

Insiden berlaku di KM321.2 di LPT2 sekitar jam 1 pagi. - Astro AWANI
Jumaat, 5 Feb: 'Rafidah dulu kebal, kini dah terjebak dengan permainan pembangkang'

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyelar tindakan Tan Sri Rafidah Aziz mengkritik isu penukaran Menteri Besar Kedah yang disifatkannya telah menyangkal kepimpinan Presiden UMNO.

Shahrizat (gambar) hairan dengan pendirian Rafidah yang dilihatnya kini sudah berubah dengan membuat pelbagai persepsi serta andaian terhadap isu dalaman parti dan kepimpinan negara.
Khamis, 4 Feb: 'Yang dicerca dan dikeji itu abah saya' - Anak Ahmad Bashah

Anak Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Azira Hafiza, meluahkan rasa hati berkenaan cercaan dan hinaan yang dibuat di media sosial kepada bapanya.

Ahmad Bashah diumumkan sebagai Menteri Besar Kedah baharu pada hari yang sama Datuk Seri Mukhriz Mahathir meletakkan jawatan. - fotoBERNAMA
Rabu, 3 Feb: Mukhriz tolak tawaran jadi Timbalan Menteri

Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengakui telah ditawarkan jawatan Timbalan Menteri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, namun beliau menolak tawaran berkenaan.

Mukhriz semasa membuat pengumuman perletakan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah pada sidang media di Wisma Darul Aman pada Feb 3. - fotoBERNAMA
Selasa, 2 Feb: Nama pengurus bank Jho Low terawal disebut dalam siasatan di Singapura

Nama seorang pegawai kanan bank swasta, Yak Yew Chee, merupakan yang terawal disebut dalam siasatan berhubung penyiasatan syarikat pelaburan strategik Malaysia, 1Malaysia Development Berhad.

Menurut laporan, Yak merupakan pengurus perhubungan untuk 1MDB Global Investments Ltd, Aabar Investment PJS Limited dan SRC International Sdn Bhd, dan Low Taek Jho atau Jho Low.
Isnin, 1 Feb: Pihak berkuasa Singapura rampas "sejumlah besar" akaun bank

Jabatan Perhubungan Komersil dan Pihak Berkuasa Monetari Singapura telah merampas "sejumlah besar" akaun bank berhubung penyiasatan 1MDB.