Isnin, 11
David Bowie meninggal dunia akibat kanser
Penyanyi dan juga pelakon legenda British David Bowie meninggal dunia hari ini pada usia 69 tahun selepas 18 bulan melawan kanser.
"David Bowie telah meninggal dunia dengan aman dan dikelilingi ahli keluarganya selepas 18 bulan bertarung dengan barah. Sementara ramai antara kalian meratapi kehilangan ini, kami mohon agar keluarganya diberikan privasi untuk menghadapi kesedihan ini," ujar satu kenyataan rasmi tentang pemergiannya.
Puteri Raja Sepanyol, Cristina De Borbon dan suaminya, Inaki Urdangarin didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan penipuan cukai. Ia merupakan tuduhan jenayah pertama melibatkan kerabat diraja itu sejak pemerintahan beraja Sepanyol dipulihkan pada 1975.
Selasa, 12
1 terkorban, 3 cedera dalam insiden kren tumbang di Jalan Damansara
Seorang terkorban manakala tiga cedera dalam kejadian kren tumbang di Jalan Damansara, di sini hari ini.
Pihak bomba mendapat laporan tentang kejadian pada jam 4.50 petang dan tiba di tempat kejadian sekitar 5.10 petang.
Rabu, 13
Dua pengebom berani mati yang didakwa meletupkan diri di Syria disahkan warga Malaysia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perkara itu disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini. Hishammuddin bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung identiti kedua-dua pengebom itu.
Khamis, 14
Empat pelajar perempuan hilang di madrasah
Empat pelajar perempuan sebuah madrasah di Pulai, Melaka dilaporkan hilang selepas dipercayai melarikan diri dari asrama sekolah tengahari Khamis.
Ibu bapa pelajar terbabit turut melahirkan rasa terkejut apabila dimaklumkan pihak madrasah pada 6.30 petang Khamis.
Kempat-empat pelajar perempuan yang hilang berusia 13, 14, 15 dan 16 tahun.
Dua pelajar maut dilanggar lori hantu
Dua pelajar berusia 12 tahun maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 19 kenderaan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Damai Perdana, Cheras petang tadi.
Kedua-dua mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 petang itu adalah pelajar Tahun Enam di sebuah sekolah kebangsaan.
Sekurang-kurangnya tujuh maut dalam siri kejadian enam letupan di sekitar kawasan Sarinah, Jalan MH Thamrin, Jakarta hari ini.
Jumaat, 15
Tiada kenaikan GST dalam ubah suai Bajet 2016
Kerajaan tidak membayangkan sebarang kenaikan dalam Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata pada peringkat ini, kerajaan mengambil kira kebajikan dan keupayaan rakyat.
"Saya tidak fikir rakyat mempunyai keupayaan untuk menyerap sebarang tambahan atau kenaikan GST... kenaikan GST tidak termasuk dalam perancangan...tidak dibincangkan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan kumpulan militan ditahan di LRT Jelatek
Polis bahagian Cawangan Khas Anti Pengganas (E8) Bukit Aman menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan kumpulan militan Daesh di ibu negara pada Jumaat.
Lelaki itu ditahan di Stesen LRT Jelatek, Ampang bersama senjata dan dokumen berkaitan Daesh.
Sabtu, 16
Mengaku rancang serangan bunuh diri, empat individu ditahan polis
Sepasang suami isteri antara empat individu disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas militan Daish (IS), ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu operasi khas sekitar Selangor dan Kuala Lumpur antara 11 dan 15 Januari 2016.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tiga daripada suspek yang ditangkap telah ditahan pihak berkuasa Turki semasa dalam perjalanan menyusup masuk ke Syria.
Ahad, 17
Bangsar, Hartamas antara 'hotspot' baharu ancaman pengganas - Tengku Adnan
Selain pusat tumpuan pelancong Bukit Bintang, beberapa kawasan di sekitar ibu kota termasuk Bangsar dan Hartamas turut tersenarai antara kawasan panas yang menjadi ancaman penggganas.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengakui menerima maklumat tersebut daripada pasukan perisikan negara.
"Ya saya ada terima maklumat (daripada perisikan). Antara kawasan termasuk Menara Kuala Lumpur, Bukit Bintang, Bangsar, Hartamas dan Damansara," katanya pada satu sidang media.
PDRM tidak pernah umum tempat sasaran kumpulan militan di ibu negara
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang menyebut secara spesifik tempat-tempat yang menjadi sasaran pengganas.
Ketua Komunikasi Korporat, Urus Setia Ketua Polis Negara, Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad dalam satu kenyataan berkata, PDRM memandang serius penyebaran berita itu kerana membangkitkan kegusaran dan ketakutan masyarakat secara keterlaluan.