Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyeru syarikat korporat dan agensi yang sesuai untuk menyalurkan bantuan kewangan bagi membantu usaha memantu perjalanan pilihan raya umum nanti kerana badan itu tidak menerima sebarang pembiayaan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, IDEAS turut sekali lagi menyeru orang ramai tampil untuk jadi sukarelawan.

"Ini merupakan satu tanggungjawab yang amat berat dan penting terutama kerana kita sedia maklum bahawa PRU-13 akan berlangsung dalam jangka masa terdekat," kata kenyataan itu.

Jelas IDEAS, sukarelawan itu nanti akan bertugas memerhati, merekod dan melaporkan proses PRU-13.

Mereka akan diberikan latihan serta dokumen yang diperlukan. Dokumen itu merupakan borang yang mengandungi soalan terperinci mengenai apa yang perlu mereka pantau.

Untuk jadi sukarelawan pemerhati, mereka yang berminat mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:

Maklumat lanjut mengenai terma dan syarat menjadi sukarelawan pemerhati boleh diperolehi di www.pemerhati.my

IDEAS merupakan antara 16 badan bukan kerajaan yang dilantik oleh SPR untuk memantau PRU-13.

Ia menetapkan sasaran membuat pemerhatian di 70 kawasan Parlimen di seluruh Semenanjung Malaysia yang dipilih berdasarkan kedudukan sebagai kawasan panas antaranya kerana majoriti kecil semasa pilihan raya 2008.

Antara kawasan Parlimen itu termasuk Arau, Jerlun, Balik Pulau, Kuala Kangsar, Lumut, Petaling Jaya Selatan, Bukit Katil dan Temerloh.

Selain IDEAS, SPR baru-baru ini melantik Merdeka Center, Pusat Kajian Polisi Awam ASLI dan Persekutuan Orang Kurang Upaya Malaysia sebagai pemantau pilihan raya di Semenanjung Malaysia.

SPR juga mengumumkan kesediaan menerima pemerhati antarabangsa yang diuruskan oleh Wisma Putra.

“Kami mensasarkan menjalankan pemerhatian di 70 kawasan parlimen seluruh semenanjung Malaysia. Kerusi-kerusi ini dipilih kerana mereka dikira sebagai kawasan ‘panas’,” tambah Wan Saiful lagi.

IDEAS turut bekerjasama dengan ASLI Centre for Public Policy Studies, Merdeka Centre, dan Konfederasi Orang Kurang Upaya Malaysia.