KUALA LUMPUR : Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Tabung Kecemasan Kanak-kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), disokong oleh Kesatuan Eropah (EU), telah melancarkan satu laporan bertajuk Left Far Behind: The Impact of COVID-19 on Access to Education and Healthcare for Refugee and Asylum-seeking Children in Peninsular Malaysia.

Laporan ini menilai kesan COVID-19 terhadap kanak-kanak pelarian dan pencari suaka mendapatkan pendidikan dan penjagaan kesihatan di Malaysia dan mengenal pasti penyelesaian berasaskan bukti dalam menangani masalah ini, berdasarkan kepada kajian-kajian kuantitatif serta temu bual kualitatif bersama guru, ibu bapa, remaja, dan pekerja penjagaan kesihatan daripada pelbagai negeri di Semenanjung Malaysia.

Lebih daripada 25% daripada pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNCHR) di Malaysia adalah kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.

Hal ini bermakna terdapat 47,200 orang kanak-kanak mempunyai capaian terhad atau tiada capaian langsung kepada pendidikan formal, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan penting lain disebabkan tiada status sah, menjadikan mereka salah satu daripada golongan paling terjejas kepada kesan pandemik COVID-19.

“Hak mendapat pendidikan dan penjagaan kesihatan adalah antara dua hak asasi kanak-kanak di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak.

“Ketika Malaysia mula pulih daripada pandemik, situasi kanak-kanak pelarian dan pencari suaka menjadi semakin teruk. Jika tidak ditangani segera, kesan COVID-19 berkemungkinan akan berterusan membawa kemudaratan jangka panjang kepada kehidupan mereka,” kata Saskia Blume, Ketua Perlindungan Kanak-kanak, UNICEF Malaysia.  

Malah sebelum pandemik melanda, kanak-kanak pelarian dan pencari suaka tiada capaian untuk mendapatkan pendidikan formal, hanya mempunyai capaian mendapatkan pendidikan tidak formal melalui  pusat pembelajaran alternatif (ALC) yang turut menghadapi pelbagai cabaran. Menurut UNCHR, hanya 44% kanak-kanak pelarian di Malaysia yang memasuki sekolah rendah, dan 16% pelarian remaja yang memasuki sekolah menengah.

Laporan ini menggariskan banyak halangan sedia ada kepada pendidikan yang dihadapi oleh kanak-kanak pelarian dan pencari suaka menjadi semakin teruk ketika pandemik. Halangan-halangan ini termasuk kemiskinan, kurang kesedaran akan kepentingan pendidikan, halangan geografi, dan sumber kewangan terhad yang dihadapi oleh pusat-pusat pembelajaran alternatif. 

Para pelarian dan pencari suaka tidak mempunyai hak secara undang-undang untuk bekerja dan kemiskinan telah dikenal pasti sebagai halangan paling utama, mencerminkan kehilangan peluang mata pencarian sewaktu COVID-19.

Kekurangan perlindungan undang-undang serta peningkatan xenofobia yang dialami oleh komuniti pelarian juga seterusnya telah memberi kesan terhadap capaian kepada pendidikan ketika pandemik. Kekurangan dokumentasi undang-undang, keperluan kewangan dan permasalahan sijil turut mengehadkan peluang kemajuan akademik ke tahap pendidikan tinggi.

Para pelarian dan pencari suaka juga menghadapi halangan yang ketara untuk mendapatkan penjagaan kesihatan yang berpatutan sebelum pandemik melanda. Walaupun pelarian dan pencari suaka mempunyai capaian kepada prasarana kesihatan badan bukan kerajaan (NGO) untuk penjagaan kesihatan prima, keperluan sosial dan penjagaan kesihatan mereka yang kompleks dan juga ketiadaan kerangka kerja perundangan mengenai masalah suaka menimbulkan halangan kepada capaian mendapatkan penjagaan kesihatan menengah dan rawatan kecemasan yang berpatutan.

Laporan ini mengetengahkan bahawa keadaan kebersihan yang teruk, kadar celik kesihatan yang rendah dalam kalangan ibu bapa, pemakanan tidak seimbang, dan lambat mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan adalah antara sebab utama morbiditi yang menjadi semakin teruk ketika pandemik.

Keperluan kesihatan berkaitan kesihatan mental, perlindungan kanak-kanak, serta keganasan seksual dan keganasan berdasarkan jantina juga telah meningkat setelah tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kekurangan persekitaran yang membolehkan dan halangan sosiobudaya seperti kekurangan dasar yang terangkum, peningkatan xenofobia, rasa takut ditangkap dan ditahan, dan kurang perkhidmatan sokongan negara untuk perlindungan kanak-kanak telah menghalang capaian kepada penjagaan kesihatan semasa COVID-19. Kehilangan pekerjaan sewaktu pandemik juga memburukkan lagi halangan berkaitan kos dalam mendapatkan penjagaan kesihatan.

Walaupun kajian ini menunjukkan bahawa banyak halangan kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan menjadi bertambah buruk disebabkan pandemik, terdapat juga peluang baharu yang muncul untuk kanak-kanak pelarian dan pencari suaka untuk mendapatkan pendidikan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan melalui modus dalam talian, alatan digital dan perkongsian serta penglibatan baharu.

Laporan ini menyenaraikan cadangan yang konkrit untuk menangani halangan yang telah dikenal pasti dan memanfaatkan peluang baharu, diambil daripada pelarian dan pencari suaka sendiri, serta guru dan pekerja penjagaan kesihatan yang menyokong mereka.

Dr Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Malaysia berkata: “Ketika kita keluar daripada pandemik COVID-19, isu hak asasi manusia asas yang dihadapi oleh pelarian dan pencari suaka, seperti mendapatkan pendidikan formal dan penjagaan kesihatan, kekal kritikal dan mendesak. Untuk membolehkan perubahan sistemik jangka panjang berlaku, kita perlu mula memasukkan kanak-kanak pelarian dan pencari suaka dalam dasar-dasar negara yang melindungi dan menegakkan hak mereka mendapatkan pendidikan dan penjagaan kesihatan.”

IDEAS dan UNICEF ingin mengucapkan terima kasih kepada komuniti pelarian, terutamanya kanak-kanak, ibu bapa, para guru serta pekerja penjagaan kesihatan kerana telah berkongsi cerita, cabaran dan pandangan mereka dalam kajian ini.

IDEAS dan UNICEF mengalu-alukan sokongan pelbagai pihak pemegang taruh kerajaan, bukan kerajaan dan swasta dalam memajukan cadangan laporan ini dan dalam kerjasama kajian pada masa hadapan.