Institut Jurutera Malaysia (IEM) bimbang dengan peningkatan kes kemalangan di tapak pembinaan sejak akhir-akhir ini.

Ia mungkin berpunca daripada kelemahan industri pembinaan dalam mematuhi piawaian amalan keselamatan yang sewajarnya.

Setiausaha Kehormat IEM Ir Prof Dr Jeffrey Chiang berkata, institut itu bersedia menawarkan input teknikal sekiranya pihak berkuasa berkaitan meminta bantuan terutamanya dalam penyiasatan.

Ini termasuk kejadian runtuhan tanjakan Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Bahagian tanjakan jambatan yang runtuh itu tidak menunjukkan ia perlu mempunyai reka bentuk khas atau kaedah pembinaan yang melibatkan kerja kejuruteraan rumit.

Tambahnya lagi, bagi membendung kemalangan dalam kerja pembinaan, semua aspek berkaitan reka bentuk dan prosedur pembinaan perlu dititikberatkan.

Pada 6 Jun lepas tanjakan konkrit bagi susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang yang sedang dalam pembinaan di lebuhraya Tun Dr Lim Chong EU, runtuh.

Mayat Tajudin Zainal Abidin terperangkap di dalam kereta Perodua Kelisa manakala tiga orang cedera dalam kejadian itu, dua daripada mereka pekerja asing.

Seorang lagi warga tempatan Thilasheni Rajendran mengalami cedera di tangan.