IKEA Malaysia hari ini memberitahu syarikat itu tidak akan terjejas dengan penarikan balik sosej berikutan laporan terdapat daging kuda di dalam produk tersebut.

Pengurus gedung IKEA Damansara, Roszalena Mashurdin dalam satu kenyataan email berkata penjualan sosej yang dijual di IKEA diperbuat daripada ayam yang disahkan halal.

“Sosej yang dijual di Ikea hanya mengandungi ayam yang diperolehi dan dihasilkan di Malaysia. Semua daging ayam ini memiliki sijil halal,” kata kenyataan tersebut.

Menurutnya, tiada satu pun bahan dihasilkan oleh pembekal Sweden yang terlibat.

Selain itu juga, rangkaian sosej tertentu yang ditarik balik di beberapa pasaran asing tidak dipasarkan di IKEA Malaysia.

“Kami tidak akan bertolak ansur dengan bahan-bahan makanan selain yang telah ditentukan dalam resipi atau spesifikasi kami, dan ini dilakukan menerusi standard, pensijilan dan analisis produk yang telah ditetapkan oleh makmal yang bertauliah.

“Kami mempunyai pengakuan daripada pembekal tempatan kami bahawa sosej yang dijual di Kedai Khas Makanan Sweden Ikea dan Kafe Exit IKEA adalah dihasilkan di Malaysia menggunakan daging ayam dan selamat untuk dimakan,” tambah kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, IKEA akan terus menjual dan menghidangkan sosej ini di gedung mereka.

IKEA juga memberitahu mereka amat komited dalam menghidangkan serta makanan yang selamat.