KUANTAN: Susulan tularnya satu video iklan bertemakan lagu Hari Raya Aidilfitri oleh sebuah syarikat perjudian 'online' di media sosial, Angkatan Muda Keadilan Negeri Pahang membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan hari ini.

Ketuanya, Mohd Mustaqim Abdul Jalil berkata, iklan tersebut dilihat mengajak umat Islam supaya berjudi bagi mencari dana balik kampung untuk beraya, adalah sangat menyinggung sensitiviti umat Islam terutama ketika bulan Ramadan.

Beliau turut menggesa pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk segera mengambil tindakan tegas atas pengeluaran lagu ini oleh 'GDBET333' yang jelas melanggar Akta SKMM.

"Yang menakutkan saya adalah kesannya kepada anak muda kerana kalau kita lihat dalam video itu, rata-ratanya merupakan anak muda.

"Saya yakin video ini akan mempengaruhi anak muda untuk berjinak-jinak dengan kegiatan berjudi dalam talian. Walaupun mereka bermain dengan wang taruhan yang kecil, saya risau perkara ini akan menjadi barah yang tidak dapat kita ubati," katanya.

Melodi dengan lirik menarik yang terdapat dalam video berdurasi 2 minit 1 saat yang kini tular, dibimbangi mudah mempengaruhi anak muda untuk mencuba nasib.

Malah beberapa pelakon dalam iklan berkenaan tampil dengan imej bertudung, lengkap berbaju kurung dan berbaju Melayu.