KUALA LUMPUR: Ledakan globalisasi, pandemik COVID-19 dan perkembangan dunia digital telah memaksa industri untuk berevolusi ke arah digitalisasi, sekali gus meningkatkan kepentingan 'micro-credential' di dalam industri seiring peredaran zaman masa kini.

Ketua Eksekutif Institut Pendidikan Berterusan Dan Pengajian Profesional (iCEPS) Prof Dr Azizul Halim Yahya berkata 'micro-credential' berperanan menjadi nilai tambah kepada calon yang menjadi pilihan majikan, atau kekal relevan dalam kerjaya dengan melahirkan insan berpengetahuan, mempunyai nilai dan berkemahiran tinggi.

Beliau berkata dengan memperkasakan kepakaran spesifik dan menutup jurang kemahiran, ini dilihat akan memberi manfaat kepada golongan yang berkerjaya, agar tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi yang pesat.

"Micro-credential adalah kursus-kursus daripada program yang telah mendapat akreditasi ditawarkan dalam unit pembelajaran yang lebih kecil, bagi membolehkan para pelajar belajar dengan lebih fokus kepada topik atau unit pembelajaran mengikut kesesuaian dan kemampuan mereka.

"Di iCEPS, terdapat 33 kursus 'micro-credential' ditawarkan merangkumi modul teknikal seperti Sistem Komunnikasi Optik Gentian dan juga modul yang berbentuk serba boleh atau 'versatile' seperti Pembangunan Pensanitasi," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Azizul Halim berkata Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui iCEPS, telah memperkenalkan kursus 'micro-credential' selaras dengan seruan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, yang dilancarkan oleh Naib Canselor UiTM Prof Dr Roziah Mohd Janor pada 15 Dis tahun lalu.

Beliau memaklumkan iCEPS juga sedang bergerak ke arah memberi pengiktirafan kepada individu yang berjaya menamatkan 'micro-credential' ini, untuk peluang pemindahan kredit bagi pelajar atau individu yang belajar di UiTM.

Katanya, menurut laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran menurun kepada kadar terendah iaitu 4.3 peratus pada Okt 2021, berbanding Mei 2020 yang merekodkan 5.3 peratus dan angka ini dilihat masih tinggi berbanding kadar pengangguran pada 31 Dis 2019 iaitu 3.2 peratus, sebelum pandemik COVID-19 bermula.

"Peluang pekerjaan terhad yang ditawarkan majikan kerana ingin mengurangkan kos pengeluaran serta operasi, antara faktor bagi peningkatan kadar pengangguran ini, selain daripada ketidaksejajaran bidang.

"Justeru, kita perlu bersiap-siaga dalam menghadapi impak pandemik COVID-19 atau sebarang krisis dalam era VUCA (Kemeruapan-Ketidakpastian-Kerumitan-Kekaburan), dengan menentukan hala tuju dan perancangan terbaik terutamanya dalam sektor pendidikan, seiring dengan tuntutan baharu," katanya.

-- BERNAMA