Skip to main content

Malaysia

Imigresen senarai hitam pemegang PLKS tidak sah

61742884949_ZakariaShaaban.jpg
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata tindakan itu diambil selepas pihaknya menjalankan operasi dan serbuan di beberapa lokasi bagi mengesan pemegang PLKS yang terbabit. - Gambar fail
Advertisement

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyenaraihitamkan pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang diluluskan secara tidak sah menerusi sindiket menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata tindakan itu diambil selepas pihaknya menjalankan operasi dan serbuan di beberapa lokasi bagi mengesan pemegang PLKS yang terbabit.

"Hasil serbuan mendapati alamat premis dan maklumat majikan yang digunakan tidak sepadan dengan maklumat tertera pada PLKS.

“Jadi, tindakan telah diambil dengan menyenaraihitamkan mereka dalam sistem imigresen dan mereka tidak boleh melakukan sebarang transaksi atau urusan, kecuali sekiranya mempunyai pertanyaan yang perlu dirujuk kepada pejabat imigresen berkaitan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pada 28 Julai lepas, SPRM melalui Bahagian Perisikan dengan kerjasama Bahagian Perisikan JIM telah menjalankan operasi bersepadu di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Operasi tersebut turut dibantu oleh Cyber Security Malaysia (CSM), Telekom Malaysia, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Bahagian Forensik Teknologi (BFT) SPRM.  

Dalam operasi tersebut, penggeledahan telah dijalankan melibatkan premis syarikat dan juga JIM Pulau Pinang serta ibu pejabat JIM di Putrajaya.

Sebanyak 1,306 PLKS dikesan diluluskan secara tidak sah di pelbagai lokasi di seluruh negara membabitkan pelbagai sektor.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement