Skip to main content

Malaysia

Imigresen tahan 42 warga asing dalam operasi penguatkuasaan di Kota Setar, Kubang Pasu

ALOR SETAR, 30 Jun 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah telah melaksanakan operasi penguatkuasaan melalui Ops Sapu, Ops Jaja dan Ops Selera di sekitar daerah Kota Setar dan Kubang Pasu, Kedah pada 29 hingga 30 Jun 2026. Operasi ini melibatkan seramai 21 pegawai Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah, hasil maklumat risikan serta aduan awam berhubung kehadiran dan aktiviti warga asing tanpa izin di premis-premis terlibat.
Kesemua individu yang ditahan berusia 22 hingga 54 tahun dan dibawa ke Depot Imigresen Belantik bagi tujuan dokumentasi, siasatan serta tindakan lanjut. - Foto FB Jabatan Imigresen Malaysia Kedah
Advertisement

ALOR SETAR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan 42 warga asing dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan selama dua hari di 10 premis sekitar daerah Kota Setar dan Kubang Pasu.

Menurut kenyataan JIM Kedah, Ops Sapu, Ops Jaja dan Ops Selera yang melibatkan 21 pegawai Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasa JIM Kedah dijalankan hasil maklumat risikan serta aduan awam berhubung kehadiran dan aktiviti warga asing tanpa izin di premis terbabit.

Menurut kenyataan itu, operasi yang bermula pada 10 pagi telah memeriksa 87 individu terdiri daripada warga tempatan, Myanmar, Vietnam, Bangladesh, Thailand dan Indonesia.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 42 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” menurut kenyataan itu.

Antara kesalahan yang dikesan ialah tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk berada di negara ini, tinggal melebihi tempoh sah laku pas, menyalahgunakan pas lawatan atau pas kerja, tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah serta melanggar syarat pas ditetapkan.

Menurut JIM Kedah, tangkapan melibatkan tujuh lelaki warga Bangladesh, 16 warga Indonesia terdiri daripada 15 lelaki dan seorang wanita, tiga warga Thailand terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita, serta 16 warga Myanmar melibatkan 13 lelaki dan tiga wanita.

Kesemua individu yang ditahan berusia 22 hingga 54 tahun dan dibawa ke Depot Imigresen Belantik bagi tujuan dokumentasi, siasatan serta tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Dalam operasi sama, JIM Kedah turut mengeluarkan empat Borang Imm.29 (Saman Kepada Saksi) bagi membantu siasatan.

JIM Kedah memaklumkan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa di seluruh negeri bagi membanteras kehadiran warga asing tanpa izin serta memastikan semua individu berada di negara ini mematuhi undang-undang dan peraturan imigresen yang ditetapkan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement