KEPALA BATAS:Impian seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang menghidap leukemia tahap empat untuk menaiki kereta peronda polis (MPV) menjadi kenyataan pada Jumaat.

Mohamad Ammar Dhani Mohd Azuan ditemani ibunya, Nur Syazwani Mazlan, 30, dibawa bersiar-siar menaiki MPV Honda Civic bersama Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor.

Hasrat kanak-kanak itu direalisasikan melalui Program Hasrat Dipenuhi Seikhlas Hati di Ibu Pejabat Polis SPU, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Menurut Nur Syazwani, Mohamad Ammar Dhani yang merupakan anak sulung daripada empat beradik dikesan menghidap leukemia sejak berusia dua tahun.

Katanya, anaknya itu sangat berminat dengan kerjaya polis malah menyimpan banyak kereta polis mainan di rumah mereka di Bakar Kapor, Penaga, Kepala Batas.

"Sejak berusia dua tahun dia tunjuk minat dengan kereta polis. Lepas itu dia selalu tunjuk dan cakap nak naik kereta polis. Tapi saya selalu cakap, polis banyak kerja... kita tunggu dulu...

"Sampai tahap sekarang ini... dia dah tak ada rawatan... saya terpaksa bertanya kawan bagaimana prosedur hendak minta kebenaran naik kereta polis.

"Alhamdulillah dia tolong (beritahu prosedur dan cara membuat permohonan)... dapat jugalah anak saya naik (kereta polis)," katanya di sini, pada Jumaat.

Impian Mohamad Ammar Dhani naik kereta peronda polis tercapai. - Astro AWANI

Sementara itu, Noorzainy berkata, pihaknya terharu dengan kisah Mohamad Ammar Dhani dan mengambil inisiatif bagi membolehkan impiannya menaiki kereta polis menjadi kenyataan.

"Kita telah menerima permohonan daripada ibu bapa adik Mohamad Ammar Dhani. Atas dasar keprihatinan kami PDRM (Polis Diraja Malaysia)... kita terharu... dalam kesibukan kita menjalankan tugas harian, kita cuba tunaikan hasrat itu," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Ammar Dhani memberitahu dia berminat dengan kerjaya polis dan mahu menangkap penjenayah.

"Abang (saya) nak jadi polis... nak tangkap orang jahat," katanya yang teruja menaiki MPV itu.

Difahamkan, kanak-kanak tersebut sudah menjalani semua rawatan namun paru-paru dan saluran pernafasannya sudah dijangkiti.

Kanak-kanak leukimia | Impian naiki kenderaan polis tercapai