KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini diberitahu negeri ini memerlukan kira-kira 900,000 dos vaksin bulan depan bagi memastikan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai pada Oktober.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata pihaknya menerima makluman daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kelantan akan menerima 700,000 dos vaksin pada bulan depan (September).

"Kita dijangka dapat 700,000 dos vaksin pada September nanti. Kita perlukan lebih iaitu 900,000 kalau kita nak awal dapat imuniti kelompok pada Oktober atau lebih awal oleh itu perlu ada tambahan 200,000 dos vaksin," katanya ketika menjawab soalan Abdul Azziz Kadir (PAS-Jelawat).

Dr Izani berkata melalui kempen-kempen yang dilaksanakan menerusi pemasangan papan iklan, hebahan di RTM serta kerjasama bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, kesedaran penduduk negeri ini untuk menerima vaksin semakin tinggi.

"Pada peringkat awal memang ada sedikit kepayahan kerana ada golongan antivaksin, ada yang tidak ada maklumat dan takut. Menerusi kempen-kempen yang dilaksanakan akhirnya rakyat dapat terima vaksin itu selamat dan memberi kesan positif," katanya.

Dr Izani berkata selain itu ramai juga yang datang sendiri secara jumpa terus untuk mendapatkan vaksin apabila tidak dapat mendaftar menerusi MySejahtera kerana masalah liputan Internet dan sebagainya.

-- BERNAMA