MELAKA: Indeks jenayah tahunan di Melaka mencatatkan peningkatan sebanyak 2.44 peratus kepada 1,177 kes dalam tempoh 1 Januari hingga 30 Oktober tahun ini berbanding 1,149 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata daripada jumlah itu, jenayah samun berkawan tanpa senjata api merekodkan peningkatan paling ketara iaitu 64 kes atau 113.3 peratus berbanding 30 kes bagi tempoh sama pada 2022.

Beliau berkata turut merekodkan peningkatan dalam tempoh itu ialah kes rogol iaitu 62 daripada 52 kes dan kes pecah rumah dan curi mencatatkan 343 kes berbanding 334 kes.

"Kes curi motosikal juga meningkat sebanyak 15 kes kepada 203 berbanding 188 kes, manakala curi motokar merekodkan pertambahan sebanyak 22 kes menjadikan 45 kes berbanding 23 kes pada tahun lepas.

"Kes yang berjaya diselesaikan pula sejumlah 1,177, manakala 812 kes masih lagi dalam siasatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Cegah Jenayah dan Walkabout Sempena Sambutan Deepavali di Kampung Chetti Gajah Berang di sini malam tadi.

Dalam pada itu, beliau menyarankan agar setiap lapisan masyarakat, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengekang peningkatan kes-kes jenayah di negeri ini.

"Pihak polis sentiasa berusaha keras untuk memenuhi jangkaan dan harapan masyarakat terhadap perkhidmatan yang disediakan terutama dalam aspek pencegahan jenayah, namun tanggungjawab dan kerjasama daripada masyarakat juga sangat penting bagi memastikan keamanan dicapai," katanya.

-- BERNAMA