KUALA LUMPUR: Malaysia berada di kedudukan ke-61 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 yang dikeluarkan Transparency International (TI) daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-62 pada 2021.

Bagaimanapun, Presiden TI-Malaysia (TI-M), Muhammad Mohan berkata, skor Malaysia jatuh satu mata iaitu daripada 48 mata pada 2021 kepada 47 mata pada 2022.

Berdasarkan skor CPI, lebih tinggi skor direkodkan, lebih bersih sesebuah negara daripada amalan rasuah manakala lebih rendah skor bermaksud lebih tinggi kes rasuah berlaku.

“Kita tidak sepatutnya gembira dengan ranking Malaysia kerana (dalam senarai) ada negara yang jatuh anak tangganya. Indonesia, Myanmar juga dilihat tidak berada di kedudukan baik pada tahun lepas. Malah, skor Singapura juga jatuh,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Selasa.

Dari segi kedudukan negara ASEAN, Malaysia berada di tempat kedua terbaik selepas Singapura yang merekodkan tangga kelima daripada 180 negara.

Antara kemungkinan penyebab yang menyumbang kepada kemerosotan skor berkenaan termasuk tindakan yang sangat terhad daripada kerajaan terdahulu dalam membendung aktiviti rasuah politik dan mengukuhkan amalan Hak Asasi Manusia di Malaysia.

“Empat kerajaan terdahulu gagal membentangkan Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik RUU Suruhanjaya Bebas Aduan.

“PH (Pakatan Harapan) kata mereka mahu laksanakan Akta Pembiayaan Politik pada Mac 2020 tetapi kerajaan jatuh pada masa itu.

“RUU (Rang Undang-Undang) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dikemas kini ke versi yang tidak efektif yang dinamakan semula sebagai RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC),” katanya lagi.

Selain itu, kata beliau, kurangnya kemahuan politik untuk mereformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi institusi antirasuah yang bebas dan berkesan serta dipertanggungjawabkan secara langsung kepada Parlimen.

“Selain itu, kemajuan perlahan terhadap penambahbaikan Akta Pemberi Maklumat 2010 serta RUU Perolehan Kerajaan masih belum dibentangkan di Parlimen,” tambah Muhammad.

TI-M juga berpendapat, penyumbang kemerosotan skor berkenaan juga disebabkan kurangnya kemahuan politik dalam memerangi rasuah institusi, pakej rangsangan COVID-19 berjumlah besar dilancarkan tanpa perbahasan dan penelitian Parlimen, lantikan politik untuk mengetuai syarikat berkaitan kerajaan atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.

“Selain itu ia melibatkan kegagalan tadbir urus berulang kali yang didedahkan oleh Ketua Audit Negara, kurangnya tindakan terhadap penjawat awam yang didapati menyalahgunakan jawatan mereka serta pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) yang perlahan,” ujar beliau lagi.

Antara isu-isu yang menyumbang kepada keputusan positif skor CPI 2022 Malaysia ialah berikutan kebebasan Institusi Kehakiman, Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelumnya dan PH,  kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik selesai, Undang-undang Lompat Parti, Perjanjian Malaysia (MA) 63, menghadkan tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dan Reformasi Parlimen.