KANGAR: Polis merakam keterangan Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah serta merampas senjata api dan peluru berhubung video tular di media sosial yang memaparkan beliau dipercayai menembak seekor lembu.
Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata pihaknya menerima satu laporan polis daripada orang awam pada 4.51 petang semalam, mengenai rakaman video berdurasi 38 saat itu, yang menunjukkan Abu Bakar melepaskan tembakan ke arah seekor lembu sedang mengamuk ketika berada di Dataran Lok 9, Kuala Perlis dekat sini.
“Bertindak atas maklumat dan laporan tersebut, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar telah merakam keterangan Menteri Besar Perlis dan keterangan telah direkodkan mengenai kejadian terbabit.
“Pihak polis telah membuat rampasan selaras shortgun yang dipercayai digunakan Menteri Besar Perlis, serta rampasan sembilan butir peluru jenis buekshot untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusharifuddin berkata berdasarkan keterangan Abu Bakar, dipercayai tindakan demikian diambil pada ketika itu kerana seekor lembu mengamuk yang mengancam petugas dan orang awam berada di Program Ibadah Korban Perdana Kuala Perlis.
“Hasil semakan melalui Bahagian Pelesenan IPD Kangar mengesahkan Menteri Besar Perlis itu pemegang lesen senjata api yang sah, bagi senjata api jenis shortgun,” katanya.
Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (Akta 206), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Video yang tular di media sosial semalam itu, mengundang pelbagai reaksi orang ramai.
-- BERNAMA