Skip to main content

Malaysia

Malaysia mampu jadi "Kota Baca" dalam tempoh 20 tahun - Fadhlina

KUALA LUMPUR, 30 Mei -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berucap pada program Wawancara Bersama Menteri Pendidikan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berucap pada program Wawancara Bersama Menteri Pendidikan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia mampu menjadi sebuah “Kota Baca” dalam tempoh 20 tahun akan datang sekiranya agenda memartabatkan budaya ilmu terus diperkasa menerusi pelbagai inisiatif strategik, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata usaha membina sebuah bangsa yang membaca perlu bermula dengan memastikan akses kepada bahan bacaan berkualiti untuk anak-anak selain mewujudkan ekosistem yang mampu membudayakan amalan mulia itu dalam kehidupan seharian masyarakat.

"Kita mahu membina sebuah bangsa yang membaca. Bayangan sebuah Kota Baca adalah apabila masyarakat kita bertemu, ruang perbualan mereka bukan lagi sekadar bertanya khabar kosong sebaliknya bertukar-tukar pandangan mengenai buku apa yang sedang dibaca.

“Potensi ini mampu dicapai sekiranya setiap wanita di negara ini mula menggerakkan usaha kecil dengan memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 minit sehari untuk membaca," katanya.

Fadhlina berkata demikian selepas merasmikan Kelab Perempuan Membaca (KPM) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini. 

Beliau berkata aspirasi itu tercetus selepas menjumpai sebuah buku yang mengangkat gagasan pembentukan Kota Baca ketika mengadakan lawatan ke Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Paris sebelum ini.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Fadhlina berkata komitmen memupuk budaya ilmu di peringkat awal persekolahan terus diperkukuh menerusi pelaksanaan kurikulum baharu prasekolah yang memberi penekanan kepada aktiviti pembacaan bersama.

“Sebab itu, kita ucap terima kasih kepada Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan yang telah memperuntukkan RM10 juta kepada semua prasekolah di Malaysia untuk menggalakkan budaya pembacaan ini serta membangunkan sudut bacaan ini.

"Maknanya, ibu bapa dan anak-anak akan baca bersama di ruang sekolah, dan akan disokong dengan bahan-bahan bacaan yang berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku Puan Adibah Omar berkata PBAKL kali ini dijangka mengekalkan momentum kejayaan tahun lepas dengan mencapai sasaran kira-kira 2.1 juta pengunjung sepanjang 10 hari penganjurannya.

Beliau berkata sambutan memberangsangkan pada hari pertama penganjuran membuktikan tarikh yang hampir dengan sambutan perayaan Aidiladha tidak menjejaskan kehadiran pengunjung.

"Rata-rata pempamer datang semula kepada kami dan memaklumkan jumlah pengunjung pada hari pembukaan adalah sangat besar... ini satu petanda yang amat membahagiakan," katanya pada sidang media selepas pelancaran KPM.

PBAKL kali ini menampilkan 1,200 reruai yang memenuhi semua ruang hingga aras lima WTCKL termasuk penyertaan pempamer dari China dengan buku-buku berkualiti terkini.

Selain itu, edisi kali ini diperkasakan secara hibrid menerusi kerjasama strategik bersama dengan Bookcapital.my dan platform TikTok bagi membolehkan peminat buku di luar Lembah Klang termasuk Sabah dan Sarawak menikmati diskaun serta suasana pesta secara dalam talian.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement