Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam telah menyampaikan anugerah kepada lebih 60 individu cemerlang yang diiktiraf atas pencapaian tertinggi masing-masing dalam pelbagai bidang termasuk perniagaan, hiburan dan kesenian pada majlis malam Anugerah Malaysia Book of Records (MBR) 2014.

Antara penerima dalam kategori pencapaian manusia ialah pengasas Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.

Turut menerima anugerah ialah pereka kasut terkenal Datuk Jimmy Choo, penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan penghibur antarabangsa Datuk Shake.

'Night of Achievers' dan Anugerah MBR 2014 dengan tema 'The Nation Salutes' dianjurkan untuk memberi penghormatan kepada pemegang rekod dan individu yang mencatatkan pencapaian tertinggi di negara ini.

Kategori lain juga menerima pengiktirafan termasuk bidang sukan, anugerah rantaian runcit, anugerah perniagaan paling menonjol, anugerah cemerlang 100 tahun dan anugerah pemegang muda rekod.

Majlis itu sempena pelancaran MBR edisi kesembilan.

Sementara itu, Perdana Menteri dalam ucapannya pada majlis itu berkata penerima MBR akan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia yang lain.

"Satu perkara mengenai rekod-rekod adalah bahawa ia dibuat untuk dipecahkan maka kejayaan dan pencapaian anda akan mendorong orang lain supaya mencapai kecemerlangan," katanya.

Najib berkata naluri untuk mencari yang sempurna dan terbaik dan mencapai kecemerlangan merupakan bahagian penting dalam sifat semulajadi manusia.

"Itulah yang mendorong kita dari dalam dan luar untuk melakukan perkara yang lebih besar," katanya.

"Maka sepanjang jalan, kita menemui banyak tentang diri...had dan kemampuan kita serta semangat dalam diri kita," katanya pada majlis yang dihadiri oleh 1,200 tetamu.