KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 kaunter dan 40 petugas telah ditempatkan di bangunan Satelit C25, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk membantu proses pemakaian peranti pengesanan digital bagi individu yang pulang menunaikan umrah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jangka masa yang diambil bagi saringan kesihatan dan pemakaian peranti pengesanan digital edgenta itu mengambil masa sejam 20 minit.

"Terkini mereka yang selamat kembali daripada umrah, telah dimulakan pemakaian digital tracker," katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata pada masa ini, pemakaian peranti pengesanan digital itu adalah untuk pengembara yang kembali dari 18 negara berisiko tinggi di bawah pengawasan kuarantin rumah.

Sabtu lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan semua individu yang menjalani tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari selepas pulang menunaikan umrah, diwajibkan memakai peranti pengesanan digital berkenaan mulai minggu ini.

Khairy berkata pelaksanaan pemakaian peranti itu dibuat berikutan terdapat 30 daripada 49 kes baharu COVID-19 membabitkan varian Omicron di Malaysia merupakan kes import dari Arab Saudi, yang dikesan pada 23 dan 24 Dis lepas.

-- BERNAMA