KUALA LUMPUR: Seorang individu memfailkan saman terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia bagi menuntut penjelasan bertulis berhubung penarikan balik semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda berkenaan tuntutan Pulau Batu Puteh.

Pada 2018, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

Saman itu difailkan Mohd Hatta Sanuri, 45, selaku plaintif pada 28 Mei lepas di Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Mohaji, Hazury Ismail dengan menamakan Perdana Menteri Malaysia dan kerajaan selaku defendan pertama dan kedua. 

Mohd Hatta memfailkan tindakan saman itu mewakili dirinya dan mewakili lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dengan penarikan balik semakan semula keputusan ICJ oleh kedua-dua defendan, tanpa membincangkan dan membentangkannya terlebih dahulu di Parlimen.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Hatta memohon perintah supaya kedua-dua defendan memberi penjelasan bertulis mengapa mereka telah menarik diri daripada semakan semula keputusan ICJ berkenaan dengan tuntutan Pulau Batu Puteh terhadap Singapura pada 1 Jun 2018 sedangkan permohonan semakan semula dengan bukti kukuh telah dimulakan dan difailkan sejak 3 Feb 2017.

Plaintif juga memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan cuai, melakukan pengkhianatan, penipuan dan pecah amanah kepercayaan terhadap semua rakyat Malaysia termasuk plaintif apabila telah menarik diri daripada semakan semula keputusan ICJ tersebut.

Mohd Hatta turut memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan membayar ganti rugi kepada setiap rakyat Malaysia berdasarkan nilai tanah Pulau Batu Puteh dan berdasarkan kerugian ekonomi dialami seluruh rakyat Malaysia termasuk plaintif secara sama rata berjumlah paling kurang RM10 juta.

Turut dimohon perintah supaya kedua-dua defendan mendedahkan secara terperinci jumlah semua kos yang telah dibelanjakan oleh defendan kedua (kerajaan) untuk persediaan permohonan semakan semula keputusan ICJ pada 3 Feb 2017 sehingga defendan-defendan menarik diri secara tiba-tiba pada 1 Jun 2018.

Mohd Hatta mendakwa terdapat penipuan dan fakta disembunyikan oleh defendan kedua berkenaan keputusan menarik diri daripada perbicaraan di ICJ yang ditetapkan selama dua minggu bermula 11 Jun 2018.

Dakwa plaintif, sehingga kini alasan semakan tersebut ditarik balik masih menjadi tanya tanya dan tiada penjelasan telah diberikan oleh kedua-dua defendan sedangkan wujud bukti baharu yang memihak kepada Malaysia dalam menuntut semula Pulau Batu Puteh.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada Isnin di hadapan Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris yang kemudiannya menetapkan 23 Sept untuk mendengar permohonan defendan bagi lanjutan masa memfailkan pernyataan pembelaan.

-- BERNAMA