Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Indonesia sasar tingkatkan eksport hasil perikanan ke Malaysia melalui Kalimantan Barat

81697522598_IKAN.jpg
Usaha meningkatkan eksport hasil perikanan ke Malaysia disokong oleh SMKHP yang dikeluarkan Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia bagi memastikan kualiti produk dari kawasan sempadan. - Gambar hiasan
Advertisement

JAKARTA: Indonesia berusaha meningkatkan eksport hasil perikanan ke Malaysia dari wilayah sempadan Kalimantan Barat, dengan jumlah penghantaran mencapai 580 tan bernilai 20 bilion rupiah (RM4.56 juta) dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, menurut Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia.

Pemangku Ketua Badan Pengendalian dan Pengawasan Mutu Hasil Kelautan dan Perikanan Ishartini berkata usaha itu disokong oleh Sijil Mutu dan Keamanan Hasil Perikanan (SMKHP) yang dikeluarkan kementerian berkenaan bagi memastikan kualiti produk yang dieksport dari kawasan sempadan.

“Kami telah mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa kompeten negara jiran supaya pengusaha di kawasan sempadan dapat menggunakan SMKHP untuk mengeksport hasil perikanan.

“Sijil yang kami keluarkan diiktiraf sebagai dokumen jaminan kualiti selaras dengan piawaian global,” katanya dalam kenyataan.

Ishartini berkata pensijilan berkenaan telah digunakan di pintu sempadan Entikong di Kalimantan Barat yang bersempadan dengan Sarawak, dengan sebanyak 219 SMKHP dikeluarkan antara Januari hingga Ogos tahun ini.

Menurut kementerian, SMKHP adalah dokumen rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa kompeten bagi mengesahkan bahawa produk untuk tujuan eksport telah melalui pemeriksaan daripada peringkat huluan sehingga hiliran, selaras dengan piawaian sanitasi, kebersihan dan keselamatan yang diiktiraf di peringkat global.

Menurutnya langkah itu membolehkan pemeriksaan di pintu masuk sempadan dijalankan dengan lebih pantas dan mudah.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement