Universiti harus lebih dinamik dalam menyediakan bakat yang boleh berdaya saing pada era industri pendigitalan dan automasi yang dibawakan Revolusi Perindustrian 4.0, kata Jururunding Utama Human Capital Group Asia Limited, Revin Rajen.

Beliau juga berpendapat universiti dan kolej kemahiran harus lebih fleksibel dalam penawaran kursus dan pada masa sama memberi penekanan terhadap kemahiran yang boleh digunakan sepanjang zaman.

“Secara teknikalnya teknologi berubah setiap dua tahun. Jadi apa yang anak kita belajar di tahun pertama pengajian di universiti sudah tidak boleh dipakai apabila masuk tahun ketiga. Itulah yang menyebabkan ramai graduan yang menganggur.

"Bukan kerana tiada peluang pekerjaan, tetapi mereka tidak sesuai dengan pekerjaan yang ditawarkan,” jelasnya selepas menghadiri Persidangan Industri 4.0 dan Pendigitalan di ibu negara.

Jelas Revin sukar bagi industri untuk mengenal pasti corak permintaan tenaga kerja atau peluang pekerjaan pada masa akan datang disebabkan oleh era pendigitalan yang mengubah corak permintaan tenaga kerja.

Pada Isnin, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusof dalam temubual ekslusif bersama Agenda AWANI menyatakan kementeriannya sedang mengkaji rangka kerja revolusi industri 4.0 sebagai panduan kepada semua universiti tempatan.

Persediaan ini penting memandangkan Revolusi Perindustrian 4.0 bakal mengakibatkan negara-negara membangun kehilangan 7.1 juta peluang pekerjaan.