KUALA LUMPUR: Industri muzik tanah air perlu terus diberikan ruang sewajarnya dan dihargai atas peranannya yang besar dalam menyatukan masyarakat serta membentuk identiti budaya negara.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata muzik mempunyai kekuatan luar biasa yang melangkaui sempadan bahasa, budaya dan latar belakang kehidupan untuk menyentuh hati setiap lapisan rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga industri kreatif atas sumbangan berterusan mereka dalam memartabatkan seni suara negara.
"Setiap karya ada cerita, jiwa, dan suara yang membentuk warna sebuah masyarakat.
"Terima kasih kepada semua penggiat seni, pemuzik, pencipta lagu, penyanyi, penerbit dan seluruh warga industri yang terus menghidupkan dunia muzik tanah air," katanya menerusi hantaran di Facebook bersempena dengan sambutan Hari Muzik Sedunia yang diraikan hari ini.
Fahmi turut berharap agar industri muzik tempatan akan terus berkembang maju serta mendapat pengiktirafan selayaknya.
-- BERNAMA