Seorang lelaki yang sedang melepak bersama rakan-rakannya di sekitar kawasan Teluk Malas, Penaga, Pulau Pinang sanggup terjun ke dalam paya selepas menyedari kehadiran polis semasa pemantauan Ops Covid-19 dilakukan di sekitar kawasan itu.

Dalam kejadian jam 2 petang Selasa, lelaki itu bersama tiga rakannya sedang berbual di dalam sebuah bangsal namun kesemua mereka bertempiran lari selepas melihat kenderaan polis masuk ke dalam kampung.

Bagaimanapun usaha mereka yang berusia 40 hingga 66 tahun meloloskan diri ternyata sia-sia apabila kesemuanya berjaya ditahan termasuk salah seorang yang tersangkut di dalam paya.

Ketika disoal mereka memberi alasan baru sahaja datang ke bangsal berkenaan untuk berjumpa rakan selepas selesai turun ke laut pagi tadi.

Namun pemeriksaan yang dilakukan di dalam bangsal berkenaan menemui dua botol air ketum serta beberapa buah cawan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, walaupun mereka mengetahui kesalahan berada di luar kawasan rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun masih degil dan mahu melepak bersama rakan.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU untuk tindakan lanjut sebelum kompaun dikeluarkan.

Sementara itu, Noorzainy berkata dalam operasi sama pihak polis turut mengesan dua lelaki berusia 22 tahun yang sedang melepak di tepi laut tidak jauh daripada bangsal berkenaan.

Mereka memberi alasan panas duduk di rumah dan mahu mengambil angin di situ.

Bagaimanapun alasan itu tidak boleh diterima pihak polis dan mereka juga dikenakan kompaun.

Katanya, sejak pelaksanaan PKP bermula 18 Mac hingga semalam seramai 143 orang telah dituduh di mahkamah manakala 96 lagi dikenakan kompaun RM1,000 dan pihaknya memberi amaran keras kepada orang ramai agar mematuhi PKP jika gagal tindakan undang-undang akan diambil.