SEMAKIN hari, semakin tidak terdaya untuk kita meneruskan kehidupan dengan dunia yang masih dilanda pandemik COVID-19.

Tetapi, tanpa kita sedari.. bahawa kita juga semakin menuju kemenangan selepas pelbagai pelaksanaan SOP dan penguatkuasaan dibuat dalam membendung penularan wabak ini.

Usah putus asa, kita pasti boleh menghentikan pandemik ini jika kita bersama-sama menempuh tempoh yang penuh cabaran ini.

Ini adalah beberapa perkara yang anda perlu tahu mengenai perkembangan COVID-19 dalam negara:-

1) Bagaimana situasi COVID-19 dalam negara ketika ini?

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan, tempoh dua minggu pelaksanaan 'lockdown' akan datang merupakan tempoh yang kritikal untuk negara mengurangkan bilangan kes kepada 4,000.

Tegasnya, kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk membantu melandaikan lekuk COVID-19, yang masih mencatatkan bilangan kes harian yang tinggi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba pada masa sama berkata Purata kes COVID-19 di Malaysia perlu berada di bawah 4,000 kes sehari selama tujuh hari berturut-turut bagi membolehkan negara beralih ke fasa kedua mengikut Pelan Pemulihan Negara.

Selain itu kapasiti katil di unit rawatan rapi (ICU) juga perlu mencapai paras 75 peratus ke bawah di samping 10 peratus populasi yang telah divaksin.

2) COVID-19 masih lagi menjangkiti dan mudah untuk menular

Lonjakan kes COVID-19 sememangnya boleh berlaku kerana penyakit ini sangat senang untuk menjangkiti antara satu sama lain, lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian baharu yang lebih mengganas.

Bagi anda yang mungkin tidak tahu, nama varian kini tidak lagi seperti dahulu seperti B.1.351 dan sebagainya. Kini, ia varian United Kingdom dikenali sebagai varian Alpha, Afrika Selatan sebagai Beta, Brazil sebagai Gamma dan India sebagai Delta.

3) Varian baharu lagi berisiko

Memang ada empat varian yang dikenalpasti, namun harus diingatkan bahawa pihak berkuasa Vietnam sebelum ini ada mengesan varian baharu virus COVID-19 yang merupakan gabungan varian India dan UK serta tersebar melalui udara dengan pantas.

Negara tersebut menggambarkan varian baharu itu sebagai kacukan daripada dua varian yang diketahui sebelum ini.

4) Vaksin dapat kawal jangkitan COVID-19, tapi anda masih lagi boleh dijangkiti

Sekiranya anda menerima suntikan vaksin, penting untuk diambil maklum bahawa vaksin dapat memberi anda tahap perlindungan untuk kadar tertentu dengan mengelakkan risiko jangkitan teruk dan kurangkan risiko dimasukkan ke hospital.

Namun, ini tidak bermakna anda langsung tidak akan terdedah kepada virus COVID-19 dan anda masih boleh dijangkiti penyakit ini dan menyebarkannya kepada orang lain, terutama golongan rentan.

5) Kanak-kanak ada golongan rentan, sama seperti orang dewasa

Trend terbaharu jangkitan COVID-19 terhadap kanak-kanak semakin membimbangkan dengan lebih ramai bayi berusia bawah dua tahun yang dijangkiti berada dalam keadaan lebih serius berbanding dahulu.

Disebabkan itu, adalah penting untuk negara memberi fokus kepada pemberian vaksin kepada kanak-kanak seawal umur 12 tahun untuk mendapatkan imuniti kelompok sebagai langkah mengawal penularan wabak COVID-19.

6) Pakai dua keping pelitup muka, cuci tangan selalu

Sehingga hari ini, pemakaian pelitup muka amatlah penting dan kita seagai rakyat Malaysia perlu terus menggunakannya apabila kita keluar rumah. Lebih baik jika ada dua lapisan pelitup muka, ia mampu untuk menapis sebanyak 95 peratus virus sekali gus melindungi diri daripada dijangkiti COVID-19. Tidak cukup dengan itu, amalkan basuh tangan dan elakkan aktiviti sosial buat sementara waktu.