Jadi inilah rupa muktamad Toyota C-HR yang akan memasuki proses pemasangan massa dan jelasnya ia tidak banyak berubah daripada rupa konsep yang telah kami paparkan sebelum ini. Dengan berasaskan platform TNGA (Toyota New Global Architecture), rekaannya adalah hasil kerjasama global antara beberapa pusat rekaan Toyota yang terletak di tiga benua. Ia diselenggara oleh Kauhiko Isawa, ketua rekaan projek pada ketika rekaan asal dihasilkan studio Calty yang terletak di California, Amerika Syarikat.

Mungkin tidak perlu kami cerita panjang mengenai rekaan kereta ini kerana gambar yang ada memberi kesan lebih baik. Tetapi kami perlu tekankan mengenai pembuka pintu belakang yang tersorok pada ‘C-pillar’ untuk memberi kesan coupe yang lebih ranggi. Selain itu, lampu belakang adalah jenis LED.

Bagi ketua jurutera, Hiroyuki Koba, matlamat dari segi prestasi adalah untuk menghasilkan C-HR yang mempunyai kualiti pengendalian yang tinggi, serta seronok dipandu bukan sahaja pada persekitaran urban tetapi juga tanpa mengira permukaan jalan yang tidak diturap dengan baik.

Perhatian diberikan kepada stereng agar memberi tindak balas lebih linear, sambil mengambil kesempatan ke atas potensi yang ada pada paras titik graviti rendah dan sistem gantungan ‘multi-link’.

Untuk enjin, sebuah unit hibrid baharu dengan kapsiti 1.8-liter dapat memberi 122hp dan pengeluaran gas CO2 serendah 90g/km, satu angka yang tiada tandingan di dalam segmen crossover.

Ada juga pilihan untuk enjin 1.2-liter turbo – yang mula diperkenalkan di dalam Toyota Auris – menghasilkan 115hp. Ia boleh dipadankan dengan kotak gear manual 6-kelajuan ataupun CVT. Transmisi CVT juga membolehkan pilihan antara pacuan roda hadapan ataupun pacuan empat roda.

Untuk beberapa pasaran terpilih, terdapat juga model dengan enjin 2.0-liter dengan kotak gear CVT.

Ciri-ciri keselamatan standard pada C-HR termasuk sistem pra-perlanggaran, Lane Departure Alert, Road Sign Assist dan lampu besar automatik. Kesemua ini disatukan di dalam sistem yang Toyota panggil sebagai Toyota Safety Sense.