Ringkasan AI
- Ketua Setiausaha Negara menegaskan pemantauan berterusan diperlukan bagi memastikan kejayaan inisiatif pemerkasaan agenda Bumiputera di semua kementerian.
- Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) menjadi pemacu utama memperkasa ekonomi, pembangunan bakat, ekosistem pendidikan dan daya saing Bumiputera.
- PuTERA35, dilancarkan pada 19 Ogos 2024, merangkumi 132 ikhtiar, tiga teras dan 12 pemacu dalam tempoh 10 tahun selaras Ekonomi MADANI.
PUTRAJAYA: Pelaksanaan setiap inisiatif pemerkasaan agenda Bumiputera di semua kementerian perlu dipantau secara berterusan bagi memastikan matlamat ditetapkan tercapai, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau menegaskan perkara itu sewaktu mengadakan pertemuan dengan semua Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) dan wakil kementerian yang bertanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Agenda Bumiputera di seliaan kementerian masing-masing, semalam.
“Oleh itu, saya menegaskan peranan Jawatankuasa dan Unit Pemerkasaan Bumiputera di semua kementerian adalah sangat penting bagi memastikan semua aspek perancangan, pelaksanaan inisiatif atau program, pelaporan dan skala pencapaian terus dipantau,” katanya.
Menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini, Shamsul Azri berkata inisiatif Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) adalah pemacu utama dalam mengangkat darjat dan martabat Bumiputera.
“PuTERA35 merupakan pemacu utama yang bertujuan untuk terus memperkasa ekonomi, pembangunan bakat dan ekosistem pendidikan, peningkatan pemilikan ekuiti dan penerusan daya saing dalam kalangan Bumiputera,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata PuTERA35 adalah dasar negara yang menjamin keadilan dalam pemerkasaan ekonomi Bumiputera, sekali gus memastikan golongan itu mampu bersaing secara adil dalam landskap ekonomi nasional.
Dilancarkan pada 19 Ogos 2024, PuTERA35 merupakan pelan komprehensif kerajaan bertujuan memperkasa ekonomi Bumiputera melalui 132 ikhtiar, tiga teras dan 12 pemacu.
Pelan strategik 10 tahun (2024-2035) tersebut menyasarkan peningkatan penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera ke tahap lebih tinggi serta sejajar dengan Ekonomi MADANI.
-- BERNAMA