Saksi ke-20 pada prosiding inkues punca kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini mendedahkan beliau melihat mangsa terhimpit di antara van EMRS dan sebuah kenderaan awam.

Budd Mohsin, 24, warga Pakistan, merupakan saksi awam pertama yang melihat keberadaan Muhammad Adib ketika kejadian rusuhan di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, pada November lalu.

Beliau hadir memberi keterangan dengan dibantu jurubahasa mahkamah.

"Saya nampak seorang anggota memakai t-shirt berwarna antara biru atau hitam gelap dan berseluar celoreng bomba turun dari van EMRS ketika itu," katanya kepada pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah.

BACA: Garis Masa: Saksi Prosiding inkues mencari punca kematian Adib

Menceritakan keadaan pada ketika itu, katanya, Muhammad Adib yang berada di bahagian penumpang di hadapan pada awalnya dilihat turun dari van EMRS.

Namun, katanya, Muhammad Adib dilihat cuba memasuki semula kenderaan itu apabila menyedari sekumpulan perusuh menyerang trak bomba di hadapan.

Bagaimanapun, Muhammad Adib dikatakan gagal memasuki semula van EMRS apabila rakan setugasnya di dalam van telah menutup pintu kenderaan.

Muhammad Adib, dimaklumkan saksi, cuba untuk melarikan diri ke arah stesen minyak Caltex namun telah dilanggar van EMRS yang ditolak jentera bomba akibat diserang perusuh.

"Adib pada masa itu sedang memandang ke arah kuil sebelum dilanggar van EMRS dan terhimpit dengan sebuah lagi kenderaan awam sebelum dia rebah dan van EMRS merempuh tiga hingga empat lagi kenderaan lain," katanya kepada Koroner Rofiah Mohammad.

Prosiding inkues yang masuk hari ke-13 ini turut menyaksikan tayangan semula rakaman kamera litar tertutup pada malam kejadian itu bagi melihat gambaran sebenar daripada pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Mahkamah Koroner hari ini turut membawa sampel baju anggota bomba bagi tujuan pengecaman oleh saksi.

Saksi turut memberitahu video yang tular di laman sosial ketika kejadian dirakam rakannya Hardeep Singh yang merupakan pengawal keselamatan di kawasan perumahan di lokasi kejadian.

Ketika kejadian, saksi dalam perjalanan pulang selepas berjumpa rakannya sebelum berhenti di kawasan rusuhan sebaik sahaja melihat suasana kecoh di situ.

Prosiding inkues bersambung esok.