MALAYSIA
Inkues kes Zara Qairina: Sebahagian tulisan tangan dipercayai bukan ditulis arwah

Saksi dari Jabatan Kimia Malaysia sahkan sebahagian tulisan tangan dalam buku kes Zara Qairina bukan milik arwah berdasarkan analisis forensik. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh dalam keterangannya di Mahkamah Koroner di sini menyatakan hasil pemeriksaan pada sebuah buku mendapati sebahagian tulisan tangan yang dikemukakan dipercayai bukan ditulis oleh Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Ringkasan AI
- Saksi dari Jabatan Kimia Malaysia sahkan sebahagian tulisan tangan dalam buku kes Zara Qairina bukan milik arwah berdasarkan analisis forensik.
- Pemeriksaan menunjukkan perbezaan signifikan antara tulisan tangan Zara dan individu lain pada beberapa helaian dan muka surat buku.
- Semua ekshibit telah dianalisis, dimeterai semula dan dibentangkan dalam prosiding inkues di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Beliau menjelaskan, penemuan sama turut diperoleh pada helaian bertanda ‘Y8’, selain dua lagi helaian ‘W1’ dan ‘W2’ yang didapati sepadan dengan tulisan tangan contoh.
Menurut Nurul Atiqah, penilaian lanjut pada buku tulisan tangan bertanda ‘W3’ menunjukkan hasil tulisan Zara Qairina dan individu lain.
“Bagi muka surat tiga hingga enam, 15 hingga 24, 38 hingga 45, 47 hingga 57, 65 hingga 72 dan 90 hingga 103, tulisan tangan dipertikaikan itu juga menunjukkan persamaan signifikan dengan penulis contoh.
“Namun, bagi muka surat dua, tujuh hingga 14, 25 hingga 37, 46, 58 hingga 64 dan 73 hingga 89, ia menunjukkan perbezaan signifikan yang mencukupi. Oleh itu, saya berpendapat tulisan tangan pada bahagian tersebut tidak ditulis oleh penulis contoh,” jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, setelah selesai dianalisis, kesemua ekshibit dimasukkan semula ke dalam beg barang kes asal dan dimeterai kembali dengan label keselamatan Jabatan Kimia Malaysia.
Nurul Atiqah, 44, yang berkhidmat di Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, setakat ini telah menganalisis kira-kira 670 kes pemeriksaan dokumen dan daripada jumlah itu, kira-kira 120 kes adalah tulisan tangan. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami