Skip to main content

Malaysia

Inkues Zara Qairina: Autopsi psikologi rumus Zara akhiri nyawa sendiri - Saksi

KOTA KINABALU, 20 Ogos -- Anggota keselamatan berkawal di luar Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu susulan lima remaja perempuan bawah umur dijadual didakwa di Mahkamah Kanak-kanak pagi ini berhubung kes buli pelajar Zara Qairina Mahathir.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA.
Inkues Allahyarham Zara Qairina masih dijalankan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah. - Gambar fail

KOTA KINABALU: Seorang pakar psikiatri forensik memaklumkan bahawa hasil autopsi psikologi mendapati kematian Zara Qairina Mahathir paling selari dengan tindakan mengakhiri nyawa sendiri.

Dr Chua Sze Hung, 43, menjelaskan bahawa mangsa mempunyai lebih banyak faktor risiko berbanding faktor perlindungan pada waktu kejadian.

Advertisement

Menurut beliau, keadaan tersebut menunjukkan ketidakseimbangan yang jelas, sekali gus meningkatkan kecenderungan terhadap tindakan berkenaan.

“Pada pandangan saya, ketika insiden berlaku, si mati menunjukkan dominasi faktor risiko mengakhiri nyawa sendiri berbanding faktor perlindungan.

“Ketidakseimbangan ini menjadikan beliau lebih terdedah kepada tindakan tersebut.

“Gabungan masalah sedia ada bersama peristiwa semasa dipercayai menjadi pencetus kepada tindakan terakhirnya. Ini menggambarkan kemungkinan perbuatan itu dilakukan untuk menamatkan penderitaan, dalam keadaan tekanan emosi yang amat berat, pertimbangan yang terganggu serta keupayaan mengawal diri yang semakin lemah. Ia bukan satu tindakan yang dirancang secara terperinci.

“Sehubungan itu, autopsi psikologi ini merumuskan bahawa cara kematian paling konsisten adalah bunuh diri,” katanya ketika membacakan kenyataan saksi dalam bahasa Inggeris di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Peguam Shahlan bersama rakan sepasukannya, Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.

Sementara itu, peguam bagi bapa Zara Qairina, Mahathir Mohd Hashim, ialah Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Turut mewakili lima remaja lain yang terlibat dalam inkues ini ialah Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan yang mewakili pelajar A, manakala peguam bagi empat lagi pelajar diwakili oleh Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Sylvester Kuan.

Pasukan pegawai pengendali terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah, serta Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus.

Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di kawasan asrama sekolahnya pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Must Watch Video