Ringkasan AI
- Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak diberikan penjelasan mengenai kepentingan bedah siasat sebelum menandatangani borang penolakan.
- Noraidah Lamat menyatakan beliau menandatangani borang itu dalam keadaan sedih dan panik, tanpa memahami sepenuhnya kandungannya.
- Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya.
KOTA KINABALU: Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa beliau tidak diberikan penjelasan mengenai kepentingan bedah siasat sebelum menandatangani borang menolak prosedur itu terhadap jenazah anaknya pada 17 Julai tahun lepas.
Noraidah Lamat, 46, berkata beliau hanya membaca sepintas lalu kandungan borang berkenaan tanpa memahami maksudnya kerana berada dalam keadaan terlalu sedih dan panik selepas kematian anak tunggalnya itu.
Ketika peguam Shahlan Jufri yang mewakilinya dalam prosiding inkues itu membangkitkan keterangan saksi ketujuh Pegawai Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Logaraj Ratha bahawa beliau telah menjelaskan keperluan dan kepentingan bedah siasat kepada waris, Noraidah menafikan menerima penerangan sedemikian.
Noraidah berkata beliau dan iparnya menandatangani borang itu kerana mahu urusan pengurusan jenazah Zara Qairina disegerakan memandangkan mereka perlu membawa pulang jenazah ke Sipitang.
"Kami turunkan tandatangan kerana kami pada waktu itu panik dan sedih. Kami cuma terlintas pada fikiran, kami mahu pengurusan jenazah Zara dipercepat kerana kami memikirkan lagi perjalanan untuk pulang ke Sipitang yang mengambil masa tiga jam," katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan hari ini.
Terdahulu, Shahlan merujuk Noraidah kepada dokumen bertajuk “Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri”.
Dokumen itu, antara lain mengandungi pernyataan bahawa penandatangan tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah berlaku dan menganggap kematian berkenaan sebagai kematian biasa, selain tidak akan menuntut laporan bedah siasat bagi tujuan medikolegal atau tuntutan lain.
Ketika ditanya sama ada beliau membaca dan memahami kandungan dokumen itu sebelum menandatanganinya, Noraidah berkata keadaan emosinya ketika itu menyebabkan beliau tidak dapat memahami maksud yang terkandung dalam borang berkenaan.
"Saya membaca sepintas lalu, dan saya tidak faham apa maksud dalam borang ini. Kerana pada ketika itu saya sedih yang teramat-amat sedih, saya panik sehingga badan saya menggeletar, dan apa pun yang tertulis di borang ini tidak dapat saya tafsir," katanya.
Noraidah turut memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak diberikan salinan borang itu ketika menandatanganinya dan hanya memperolehnya kemudian daripada seorang anggota polis wanita ketika sesi pengambilan keterangan.
Dalam keterangannya, Noraidah turut memaklumkan bahawa beliau telah membuat laporan di Balai Polis Karamunsing pada 17 Julai bagi meminta siasatan dijalankan berhubung kejadian menimpa anaknya.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas pelajar tingkatan satu itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada awal pagi.
Prosiding inkues bersambung petang ini.
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah penjelasan yang diberikan kepada ibu Allahyarham Zara Qairina mengenai kepentingan bedah siasat?
A: Noraidah Lamat menyatakan beliau tidak diberikan penjelasan mengenai kepentingan bedah siasat sebelum menandatangani borang menolak prosedur itu terhadap jenazah anaknya. - Q: Mengapa Noraidah Lamat menandatangani borang menolak bedah siasat?
A: Noraidah menandatangani borang tersebut kerana berada dalam keadaan sedih dan panik, serta ingin urusan pengurusan jenazah Zara Qairina dipercepatkan untuk dibawa pulang ke Sipitang. - Q: Apakah kandungan utama dokumen "Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri"?
A: Dokumen tersebut menyatakan penandatangan tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah, menganggap kematian sebagai kematian biasa, dan tidak akan menuntut laporan bedah siasat bagi tujuan medikolegal atau tuntutan lain. - Q: Adakah Noraidah menerima salinan borang selepas menandatanganinya?
A: Noraidah tidak menerima salinan borang ketika menandatanganinya dan hanya memperolehnya kemudian daripada seorang anggota polis wanita semasa sesi pengambilan keterangan. - Q: Bilakah dan di mana Zara Qairina meninggal dunia?
A: Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya.