MALAYSIA
Inkues Zara Qairina: Mahkamah Koroner larang dedah barang kes

Pasukan peguam hadir sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues kes kematian Zara Qairina Mahathir. -Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner mengingatkan semua pihak agar tidak mendedahkan sebarang barang kes kepada umum sepanjang prosiding berlangsung berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Ringkasan AI
- Mahkamah Koroner Kota Kinabalu mengingatkan semua pihak agar tidak mendedahkan barang kes kepada umum sepanjang prosiding inkues kematian Zara Qairina berlangsung.
- Pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh, memberi keterangan sebagai saksi kedua berhubung analisis tulisan tangan dalam dokumen kes.
- Prosiding turut dihadiri pasukan peguam mewakili ibu, bapa dan lima tertuduh kanak-kanak, serta dikendalikan oleh pasukan pendakwaan yang diketuai Datuk Badius Zaman Ahmad.
“Selagi prosiding inkues masih berjalan, mereka yang berbuat demikian boleh dianggap menghina mahkamah,” katanya sebelum mahkamah berehat pada tengah hari.
Prosiding yang memasuki minggu kedua mengemukakan pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh, sebagai saksi kedua yang memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina.
Saksi berusia 44 tahun itu merupakan pemeriksa dokumen yang membuat perbandingan tulisan tangan dalam dokumen berkaitan kes Zara Qairina yang dihantar ke Jabatan Kimia untuk diperiksa.
Prosiding turut dihadiri pasukan peguam sebagai pihak berkepentingan dalam kes ini iaitu ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat yang diwakili Shahlan Jufri dan Rizwandean M. Borhan, selain Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Turut hadir sebagai pihak berkepentingan ialah peguam mewakili bapa arwah Zara Qairina, Mahathir Hashim @ Marikin, 44, iaitu Sherzali Asli bersama dua rakan guaman, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.
Seorang daripada tertuduh kanak-kanak pula diwakili peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan manakala empat lagi tertuduh diwakili peguam Azhier Farhan Arisin bersama Abdul Fikry Jaafar Abdullah.
Inkues sepanjang bulan ini dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad bersama Timbalan Pendakwa Raya yang bertindak sebagai pegawai pengendali iaitu Dana Arabi Wazani, Mohd Fairuz Johari dan Dena Dacia Jane. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami