MALAYSIA
Inkues Zara Qairina: Pasukan pembelaan lima remaja diterima sebagai pihak berkepentingan

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini membenarkan peguam yang mewakili lima remaja yang didakwa dalam kes buli pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, diterima sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues yang dijadual bermula pada 2 petang.
Ringkasan AI
- Mahkamah Koroner membenarkan peguam lima remaja yang didakwa dalam kes buli Zara Qairina sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues yang dijadual bermula petang ini.
- Koroner Amir Shah menetapkan lawatan ke lokasi kejadian di SMKA Tun Datu Mustapha, Papar pada 11 September dan prosiding inkues akan bersambung dengan keterangan pakar patologi.
- Inkues dijalankan atas arahan Jabatan Peguam Negara selepas Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolah dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lalu.
Perkara itu dibawa semula ke hadapan Koroner Amir Shah hari ini susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Duncan Sikodol semalam, yang mengetepikan keputusan terdahulu oleh Koroner Azreena Aziz, yang turut membenarkan peguam terbabit mengambil bahagian sebagai pihak berkepentingan dalam inkues berkenaan.
Bagaimanapun, Hakim Duncan menegaskan bahawa peguam terbabit bebas mengemukakan permohonan semula di hadapan Koroner Amir Shah, yang kini mengendalikan kes berkenaan selepas Koroner Azreena menarik diri.
Koroner Azreena, yang juga Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, menarik diri daripada mengendalikan kes itu atas alasan beliau menetap di Papar, iaitu lokasi sekolah agama yang dihadiri Zara Qairina, meskipun menegaskan beliau tidak mengenali individu yang didakwa terbabit.
Sejurus selepas keputusan mengenai kemasukan peguam itu, Koroner Amir Shah turut menetapkan 11 Sept bagi lawatan ke lokasi kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, pada 9.30 pagi. Prosiding inkues akan bersambung pada 2 petang dengan pakar patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas remaja berkenaan dijadual memberi keterangan.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu. Remaja berkenaan sebelum itu dimasukkan ke hospital selepas ditemukan tidak sedarkan diri tepi longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan polis.
Pada 8 Ogos, AGC turut mengarahkan kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami