MALAYSIA
Inkues Zara Qairina: Saksi pelajar kedua dijangka mula beri keterangan petang ini

Peguam yang mewakili saksi Pelajar A ditemui di luar mahkamah hari ini. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Memasuki hari ke-12 prosiding inkues kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir dengan saksi pelajar kedua dijangka akan memberi keterangan pada petang ini.
Ringkasan AI
- Prosiding inkues kematian Zara Qairina memasuki hari ke-12 dengan saksi pelajar kedua dijangka memberi keterangan petang ini, selepas Pelajar A selesai memberi keterangan selama dua hari.
- Keterangan Pelajar A menumpukan kepada kejadian 12 Julai ketika bermalam di rumah arwah serta isu buli di sekolah, dengan jawapan konsisten walaupun disoal oleh beberapa barisan peguam.
- Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di sekolah pada 16 Julai dan meninggal dunia keesokannya akibat kecederaan otak traumatik teruk dengan komplikasi hipoksia iskemia (HIE).
Dalam pada itu, Joan berkata keterangan saksi utama (Pelajar A) dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang dilakukan selama dua hari banyak memberi tumpuan kepada kejadian pada 12 Julai lalu apabila Pelajar A bermalam di rumah arwah.
Menurut Joan, saksi berkenaan menjelaskan secara terperinci apa yang berlaku pada malam tersebut serta beberapa isu lain yang dialami sepanjang berada di sekolah, termasuk insiden buli.
“Kami menumpukan kepada tempoh selepas 12 Julai kerana anak guam kami merupakan rakan rapat arwah. Saksi telah memberi keterangan tentang apa yang berlaku pada malam itu serta pengalaman berkaitan masalah buli di sekolah," ujarnya lagi.
Tambahnya, meskipun saksi berdepan dengan pelbagai soalan daripada beberapa barisan peguam yang mewakili pihak berbeza, jawapan yang diberikan kekal konsisten.
“Ada dua hingga tiga kumpulan peguam yang bertanyakan soalan dari sudut berbeza tetapi jawapan yang diberikan tetap selari. Ini menunjukkan keterangan saksi sangat jelas,” katanya.
Beliau turut menjelaskan sesi prosiding akan diteruskan pada petang ini kerana saksi masih keletihan selepas memberi keterangan hampir dua hari berturut-turut.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di sekolahnya awal pagi pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini yang berpunca daripada kecederaan otak traumatik teruk dengan komplikasi hiposia iskemia (HIE).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami