MALAYSIA
Inkues Zara Qairina: Saksi pelajar kelima mula beri keterangan

Inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allayarham Zara Qairina Mahathir memasuki hari ke-18, bersambung pagi ini dengan keterangan saksi kanak-kanak kelima.
KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allayarham Zara Qairina Mahathir memasuki hari ke-18, bersambung pagi ini dengan keterangan saksi kanak-kanak kelima.
Saksi itu mula memberikan keterangan sekitar jam 9.28 pagi dan ibunya sebagai pendamping di mahkamah sepanjang memberikan keterangan.
Peguam bela yang mewakili bapa kepada Arwah Zara Qairina, memulakan sesi soal balas terhadap saksi berkenaan.
Saksi kelima itu memberi keterangan secara tertutup di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.Prosiding inkues dijangka akan terus mendegar keterangan saksi-saksi lain sehingga hari Selasa dan akan bersambung semula pada 7 Oktober ini.
Berdasarkan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2017, yang secara jelas melarang penerbitan sebarang maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak, petugas media dilarang berada di dalam mahkamah semasa prosiding secara tertutup bagi melindungi saksi tersebut.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi 16 Julai.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan agar inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan pihak polis.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami