MALAYSIA
Insiden bot terbalik: Mayat pasangan suami isteri ditemukan

Sebuah bot terbalik dalam kejadian di sekitar perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, 6 Jun lalu, melibatkan enam individu warga tempatan berusia tiga hingga 50 tahun. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mayat pasangan suami isteri yang hilang selepas bot dinaiki mereka terbalik di perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, di sini Jumaat lalu, ditemukan pagi ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, mayat kedua-dua mangsa ditemukan terapung pada pukul 8 pagi di kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika dari Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.
Menurutnya, mayat Gan Hon Tat, 32 tahun, dan isteri, Careen Man, 29 tahun, dibawa naik ke jeti Maritim Selangor untuk proses selanjutnya.
“Mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat dan kemudian akan diserahkan kepada waris,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.Kejadian kira-kira pukul 5 petang Jumaat lalu itu melibatkan enam individu warga tempatan berusia tiga hingga 50 tahun.
Pasukan mencari dan menyelamat sebelum ini menemukan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun Darren Gan, yang juga anak kepada pasangan yang hilang serta Cheu Son Hin, 50 tahun, masing-masing dijumpai dalam ruang hadapan bot.
Turut terkorban Fong Yong Sen, 29 tahun, iaitu rakan kepada pasangan berkenaan, manakala seorang lagi mangsa Chang Yan Qin Alvin, 17 tahun, terselamat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami