Jumlah tangkapan susulan insiden kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, meningkat kepada 30 orang setakat hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 24 orang Melayu, satu Cina, tiga India Muslim dan tiga India.

Kesemua mereka ketika ini sedang dalam tahanan reman dan pihak polis dijangka melakukan beberapa lagi tangkapan berhubung kejadian itu.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dalam dua kejadian yang berlaku pada awal pagi Isnin dan Selasa.

BACA: Kes rusuhan kuil: Reman dua pekerja syarikat pemaju dilanjutkan

BACA: "Isu kuil bukan isu Melayu vs India" - Tun M

Mengulas mengenai tempoh kawalan keselamatan akan diteruskan di sekitar kuil susulan insiden yang berpunca dari isu perpindahan tapak kuil itu, Mazlan berkata ia bergantung kepada keadaan.

"Kita tak boleh cakap (kawalan untuk) tempoh berapa lama. Ia bergantung kepada keadaan semasa. Kita telah tempatkan 500 anggota kesemuanya sebagai langkah persediaan," tambahnya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini, hari ini.

Semalam, Mazlan berkata, polis telah menahan 21 individu termasuk dua pekerja syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd bagi membantu siasatan kes rusuhan itu.

BACA: Kronologi insiden Kuil Sri Maha Mariamman

BACA: Pasukan khas buru dalang rusuhan kuil - KPN

Dalam pada itu, beliau hari ini mengulangi amaran keras kepada pihak yang menjadi dalang menyebarkan berita palsu yang dilihat hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

"Kita beri amaran kepada mana-mana pihak yang menularkan berita palsu untuk hentikan perkara ini atau berdepan tindakan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penularan berita palsu boleh menyalurkan aduan ke talian 019-6009999.