Laluan Jambatan Pulau Pinang dan Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu akan ditutup kepada semua pengguna bermula pukul 10.30 pagi hingga 5 petang 7 Disember ini (Rabu).

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan laluan tersebut bagi membolehkan polis menjalankan kerja-kerja forensik balistik di lokasi kejadian tembakan yang berlaku pada Khamis lalu sehingga mengorbankan tiga individu serta mencederakan lima yang lain.

Menurut Mior, penutupan jalan melibatkan laluan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu menghala ke Jambatan Pulau Pinang mulai persimpangan Jalan Ahmad Nor ke susur masuk jambatan.

Justeru katanya, sebagai alternatif, orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan feri atau jambatan kedua atau Jalan Sultan Azlan Shah dan lebuh raya Sungai Nibong untuk menghala ke Jambatan Pulau Pinang atau ke Seberang Perai.

Pengguna juga dinasihatkan menggunakan laluan alternatif ke jambatan dari Jalan Ahmad Nor, Jalan Jelutong dan Jalan Sultan Azlan Shah manakala ke Bayan Lepas terus melalui Jalan Sultan Azlan Shah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu Khamis lalu, seorang lelaki yang menghadapi masalah mental melepaskan tembakan rambang sehingga mengorbankan tiga lelaki termasuk majikannya, Datuk Ong Teik Kwang, 32.

Turut maut dua pengguna jalanraya, Senthil Murugiah, 38 dan Choi Hon Ming, 32.

Dalam insiden tersebut, empat lagi mangsa cedera akibat terkena tembakan rambang.

Mereka yang cedera dikenalpasti sebagai Lee Hong Boon, 56, Nurul Huda Aziz, 38, Arivarni Krishnan, 33, Mohd Amirul Amin Mohd Amir, 28, dan Lim Boon Leng, 32.