NEW DELHI: Pihak kerajaan tempatan di negeri selatan India, Kerala pada Khamis mengarahkan penutupan institusi pendidikan di sana sehingga 6 Mei ini berikutan keadaan cuaca yang amat panas, lapor Xinhua.

Pegawai kerajaan tempatan telah mengarahkan orang ramai supaya meminimumkan pendedahan langsung kepada cahaya matahari dan menggesa pihak berkuasa berkaitan supaya memantau keadaan bagi mengelakkan kebakaran.

Jabatan Meteorologi India meramalkan gelombang haba akan berterusan di Daerah Alappuzha, Palakkad, Thrissur and Kozhikode sehingga Jumaat. Amaran kuning telah dikeluarkan di keempat-empat daerah ini.

Suhu maksimum di Daerah Palakkad berkemungkinan meningkat sehingga 40 darjah Celcius dan di Daerah Kollam, Thrissur serta Kozhikode mencecah 39 darjah Celcius.

Menurut laporan media tempatan, dua orang mati awal minggu ini di Kerala akibat gelombang haba yang berterusan.

-- BERNAMA