KUALA LUMPUR: Penubuhan Institut Kesihatan Mental dilihat mampu menjadi pemangkin kepada usaha menangani masalah dan pelbagai isu berkaitan kesihatan mental yang semakin membimbangkan di negara ini.

Pensyarah Perubatan Psikiatri Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan Dr A'isyah Che Rahimi berkata bagaimanapun, fungsi institut itu perlu diperhalusi dan diperincikan supaya sumber-sumber berkaitan dapat dioptimumkan dengan baik dan efektif.

Beliau berkata hal ini kerana negara sudah mempunyai Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) di Cyberjaya.

"Kita sudah ada institut pediatrik untuk kanak-kanak, Institut Jantung Negara (IJN) untuk jantung dan Institut Kanser Negara, tetapi kita belum ada institut khas untuk kesihatan mental," katanya kepada Bernama.

Semalam, ketika membentangkan Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menubuhkan Institut Kesihatan Mental bagi menangani isu kesihatan itu yang kian membimbangkan di negara ini.

1,200 klinik daif seluruh negara akan dinaik taraf - PM Anwar


Dr A'isyah berkata usaha itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam menangani isu kesihatan mental yang kini menjadi keutamaan kerajaan.

"Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menunjukkan peningkatan kemurungan dalam kalangan rakyat Malaysia dan NHMS 2022 menunjukkan satu daripada lapan remaja mempunyai fikiran ingin membunuh diri dan satu daripada empat remaja mengalami perasaan kemurungan," katanya.

Sementara itu, Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata penubuhan institut berkenaan juga dapat melatih tenaga pengajar dan staf klinik untuk mencegah, mengenal pasti pesakit dan melakukan rawatan awal.

"Cadangan menubuhkan institut Kesihatan Mental itu sangat baik dan tepat," katanya.

Beliau turut berkata kajian oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati masalah kesihatan mental semakin meningkat pada pelbagai peringkat umur dan status sosioekonomi.

-- BERNAMA