KUALA LUMPUR: Kebebasan dan integriti mahkamah perlu dilindungi oleh semua pemegang taruh dalam apa jua keadaan sepanjang masa, agar negara dapat meningkatkan keyakinan pelabur di peringkat global, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memberi sokongan dalam memastikan badan kehakiman kekal bebas, dengan semua kes di mahkamah dibicarakan secara saksama tanpa sebarang bentuk campur tangan daripada pihak eksekutif.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap pada sesi Perbincangan Panel dan Pelancaran Buku Rayuan Sivil dan Jenayah di Malaysia (edisi keempat), di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini hari ini.

"Walaupun saya meninggalkan profesion guaman bertahun-tahun yang lalu untuk menceburi politik, saya amat menjunjung tinggi betapa pentingnya pentadbiran sistem keadilan di negara kita dan kedaulatan undang-undang untuk masyarakat adil dan teratur, yang akan memastikan undang-undang diguna pakai secara saksama," katanya.

Beliau seterusnya mengucapkan tahniah kepada pengarang buku setebal 1,200 muka surat yang dilancarkan hari ini, Tan Kee Heng, atas legasinya kepada kelompok persaudaraan undang-undang dan komuniti kehakiman melalui bahan penerbitan berkenaan, yang merangkumi semua hierarki mahkamah dalam rayuan sivil dan jenayah.

"Saya percaya kelompok persaudaraan undang-undang dan badan kehakiman akan menghargai usaha gigih dan dedikasi penulis dari Sarawak ini terhadap penerbitan buku yang akan membolehkan pembaca memahami amalan rayuan berkaitan bidang undang-undang dalam negara," katanya.

Beliau berkata buku itu juga boleh memberi inspirasi kepada kelompok generasi baharu dalam bidang undang-undang untuk mendekati profesion mereka dengan lebih tekun dan berintegriti demi kepentingan masyarakat secara keseluruhan.

Tan merupakan peguam bela Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak yang telah aktif dalam amalan guaman selama kira-kira 25 tahun.

Antara yang turut hadir ialah Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, hakim-hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan, serta hakim Mahkamah Tinggi dan pesuruhjaya kehakiman.

-- BERNAMA