AMPANG JAYA: Kerajaan menyasarkan 100,000 isi rumah miskin tegar dan golongan B40 untuk mendapat manfaat menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), tahun ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, jika ia direalisasikan, kerajaan bakal mewujudkan kira-kira 150 Koperasi Basmi Miskin Tegar (KOBMIT) menjelang hujung tahun ini di seluruh negara.

Menjelaskan, beliau berkata, IPR bertujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar dan B40 dengan kerjasama kerajaan, rakyat dan rakan strategik.

"Untuk tahun 2023, cabaran utama kepada kementerian dan negara ialah memastikan 100,000 isi rumah menerima manfaat dengan peruntukan RM750 juta.

"Kita sudah menjalankan 'modeling' awal, jika melihat kepada tiga model tadi, usahawan tani, mungkin mengambil masa yang lebih panjang untuk mendapat pendapatan.

"Program ini berupaya membantu golongan terbabit menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan bagi membolehkan mereka keluar daripada garis kemiskinan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran IPR di sini, pada Ahad.

Rafizi berkata, sasaran itu berdasarkan kajian yang dilaksanakan pihaknya berasaskan garis kemiskinan tegar.

Rafizi berkata, IPR membabitkan ekosistem tiga pihak iaitu penerima membabitkan miskin tegar dan B40, pembimbing (peniaga setempat yang membeli produk perkhidmatan, NGO serta agensi kerajaan) dan rakan niaga.

INTAN adalah insiatif untuk merekrut golongan sasar yang berminat dalan pertanian dengan memilih hasil tanaman yang tinggi dalam jumlah import seperti cili, halia dan jagung.

INSAN pula menyasarkan peserta menjual makanan umum pada harga rendah menerusi perniagaan mesin layan diri yang mampu meningkatkan jualan melalui penambahan lokasi tumpuan.

Manakala IKHSAN merekrut golongan sasar yang berminat untuk bekerja sebagai pekerja pembersihan, sekali gus mampu mengatasi masalah kekurangan buruh bagi menyelenggara beberapa kemudahan awam.

IPR membabitkan tiga model iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

"Peruntukan ada tapi kita perlukan penerima datang dan mula mengambil bahagian dalam program ini, kalau tidak, peruntukan ada tapi sambutan daripada kumpulan sasar kita akan ada masalah.

Dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan memperuntukkan RM750 juta untuk membantu kira-kira 130,000 orang rakyat tersusah tanpa mengira latar belakang kaum untuk keluar daripada belenggu kemiskinan melalui langkah lebih menyeluruh menerusi IPR.