KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) Datuk Seri Irmohizam Ibrahim bakal mewakili negara sebagai penceramah utama di Minggu Perhimpunan Agung World Trade Centers Association 2021 yang berlangsung di New York, Amerika Syarikat.

Dalam satu kenyataan hari ini, WTCKL berkata, Irmohizam akan menyertai ahli-ahli Majlis Penasihat Anggota WTCA yang lain dari Amerika Syarikat, Eropah, Asia Barat dan Afrika, dalam perhimpunan yang berlangsung selama lima hari, bermula Isnin.

Beliau juga telah mencipta sejarah sebagai satu-satunya wakil dari Malaysia, serta merupakan rakyat Malaysia pertama yang berjaya menyandang kerusi dalam persatuan ini.

“WTCA 2021 GAW akan berlangsung di ibu pejabat Persatuan Pusat Perdagangan Dunia di New York juga bakal diadakan secara maya buat julung kalinya bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Perbincangan mengenai masa depan dan hala tuju industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) pada tahun 2021 oleh Datuk Sri Dr Irmohizam dan ahli MAC yang lain akan berlangsung pada 27 April 2021, jam 10 malam,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam kenyataan yang sama, Irmohizam berkata, Industri MICE di seluruh dunia perlu mengambil segala peluang yang ada untuk terus memajukan industri, dan bangkit dari kesan pandemik yang telah menjejaskan ekosistem penganjuran industri MICE seluruh dunia.

“Saya juga akan memperkenalkan taktik serta strategi baharu yang dapat dilaksanakan dalam memberi nafas dan harapan baharu kepada industri ini demi kelangsungan perjuangan tahun 2021.

“Saya sangat berharap industri MICE di Malaysia terutamanya, dapat dilonjakkan dan dirangsangkan dengan lebih giat lagi selepas ini.” katanya lagi.

Orang ramai boleh menyaksikan perhimpunan ini dengan melayari dan mendaftarkan diri melalui laman rasmi WTCA 2021 GAW di www.events.bizzabo.com/WTCAGA2021/home.

Peserta perhimpunan ini juga berpeluang untuk melakukan rangkaian perniagaan ke perniagaan (B2B) melalui platform ‘Artificial Intelligence Powered Matchmaking’ secara percuma.