KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Irmohizam Ibrahim muncul anak tempatan pertama dilantik sebagai Profesor Pelawat di Center of Malaysia Scholars, Kolej Perhubungan Antarabangsa, Universiti Huaqiao, Fujian, China.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan WTCKL pada Jumaat.

Jelas kenyataan itu, pelantikan berkenaan bagi tempoh satu penggal iaitu selama lima tahun berkuatkuasa 7 Jun lalu.  

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Huaqiao University atas pelantikan ini.

“Saya amat berbesar hati untuk melaksanakan mandat yang telah diberikan. Peluang ini sangat baik kerana saya lihat terdapat pelbagai peluang untuk berkolaborasi antara kedua-dua buah universiti tempatan di Malaysia dan Huaqiao University,” jelas Irmohizam.

Menerusi pelantikan itu juga jelas Irmohizam dapat memanfaatkan perkongsian budaya dan kecemerlangan akademik untuk para pelajar.

“Saya berharap dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang ini dan menyumbang bakti di universiti berprestij ini,” ujarnya lagi.

Huaqiao University ditubuhkan oleh pemerintah pusat negeri China pada tahun 1960 dan merupakan antara universiti terawal di Republik Rakyat China yang menerima bilangan pelajar Malaysia yang ramai.

Manakala College of International Relations pula ditubuhkan pada bulan April 2015 yang kini ditadbir oleh Dekan Kehormat kolej iaitu Li Zhaoxing yang juga merupakan mantan Menteri Luar Negeri China.

Mempunyai 62 cawangan di seluruh dunia termasuk cawangan di Thailand, Indonesia, Malaysia, Singapura, Myanmar, Kemboja, Amerika Syarikat, Jepun dan di negara lain termasuk wilayah Hong Kong, Macau dan Taiwan.

Kolej itu juga melahirkan beberapa tokoh dunia antaranya Juara Olimpik Lin Dan, Chen Long dan Li Xuerui.