KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad daripada kesemua sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh ketika dihubungi berkata notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan semalam telah difailkan hari ini.

"Sudah fail (rayuan) hari ini," katanya.

Semalam, panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, secara sebulat suara membatalkan sabitan dan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi di sini, pada 3 Feb 2021 selepas membenarkan rayuan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Hakim Vazeer Alam dalam penghakimannya berkata tiada bukti boleh dipercayai menunjukkan terdapat kod perkataan "salam" antara Mohd Isa dengan bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip.

"Tiada bukti boleh dipercayai menunjukkan terdapat kefahaman antara perayu (Mohd Isa) dan Muhammad Zahid untuk menggunakan kod perkataan itu," kata hakim itu.

Dua lagi hakim yang turut bersidang Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah.

Mohd Isa, 74, didakwa pada 2018 dengan sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi Muhammad Zahid sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC di sini, antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA