Skip to main content

Malaysia

ISES 2026: 42 projek e-bida FiT diluluskan, jana RM4.3 bilion

Akmal Nasrullah, ISES (Credit: BERNAMA)
Menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia menyasarkan 70 peratus tenaga boleh baharu dalam kapasiti terpasang menjelang 2050, dengan sasaran perantaraan 35 peratus pada 2030. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 42 projek tenaga boleh baharu (TBB) dengan kapasiti keseluruhan 331.355 megawatt (MW) diluluskan menerusi pusingan e-bida Tarif Galakan (FiT) 2026, sekali gus dijangka menjana pelaburan kira-kira RM4.3 bilion.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata projek berkenaan mencerminkan pendekatan kerajaan untuk mempercepat peralihan tenaga negara, di samping mengukuhkan rantaian bekalan domestik dan mewujudkan nilai ekonomi kepada Malaysia.

“Ini merupakan hasil yang kita kehendaki: lebih banyak tenaga boleh baharu, rantaian bekalan domestik yang lebih kukuh, pelaburan lebih besar serta nilai ekonomi yang nyata kepada negara,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) ke-7 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata SEDA Malaysia menerima 48 permohonan bagi projek biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil dengan jumlah kapasiti eksport bersih 370.480 MW.

Daripada jumlah itu, 42 permohonan dengan kapasiti keseluruhan 331.355 MW berjaya dianugerahkan, merangkumi 16 projek biogas berjumlah 26.185 MW, 11 projek biojisim berjumlah 135.94 MW dan 15 projek hidrokuasa kecil berjumlah 169.23 MW.

Projek berkenaan turut dijangka menjana sekitar RM617 juta permintaan terhadap enjin gas dan dandang buatan tempatan, selain mewujudkan kira-kira 7,738 peluang pekerjaan tidak langsung.

Akmal Nasrullah berkata perkembangan itu mengukuhkan pendirian kerajaan bahawa peralihan tenaga perlu dilihat sebagai sebahagian daripada dasar ekonomi negara.

“Bagi Malaysia, peralihan tenaga ialah dasar ekonomi.

“Ia membentuk ke mana syarikat melabur, bagaimana industri bersaing, kualiti pekerjaan yang kita wujudkan dan daya tahan isi rumah,” katanya.

Beliau menambah, setiap ringgit yang dilaburkan dalam peralihan tenaga perlu memberi manfaat kepada keupayaan domestik, termasuk memperdalam rantaian bekalan tempatan, mewujudkan pekerjaan berkemahiran, menyokong inovasi dan membangunkan syarikat Malaysia yang mampu bersaing di peringkat ASEAN.

“Setiap ringgit yang dilaburkan dalam peralihan tenaga perlu memperkukuh keupayaan Malaysia,” tambahnya.

Katanya, kejayaan peralihan tenaga juga perlu diukur berdasarkan nilai ekonomi yang kekal dalam negara, bukan semata-mata jumlah pelaburan yang berjaya ditarik masuk.

Menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia menyasarkan 70 peratus tenaga boleh baharu dalam kapasiti terpasang menjelang 2050, dengan sasaran perantaraan 35 peratus pada 2030.

Menurutnya, sasaran itu memerlukan pelaburan dalam penjanaan tenaga, grid, penyimpanan tenaga, teknologi dan kemahiran, selain pendekatan yang berdisiplin bagi memastikan bekalan tenaga mencukupi dan boleh dipercayai.

Dalam pada itu, Malaysia terus memperkasa kerjasama tenaga rentas sempadan menerusi Rangkaian Grid ASEAN dan Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) bagi membolehkan sumber tenaga di rantau ini dimanfaatkan pada skala lebih besar.

Akmal Nasrullah menegaskan perdagangan elektrik serantau mesti mengukuhkan, bukannya melemahkan, keselamatan tenaga Malaysia, selain mewujudkan nilai kepada negara dan memastikan pengguna domestik tidak mensubsidi aktiviti eksport elektrik.

ISES 2026 bertemakan “Envisioning Sustainable Energy Beyond Borders” menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin industri, pelabur, inovator dan pemegang taruh tenaga dari seluruh rantau bagi membincangkan kerjasama tenaga rentas sempadan, pemodenan grid, penyimpanan tenaga, pembiayaan lestari, pemindahan teknologi dan pembangunan bakat.

Must Watch Video

Advertisement