MALAYSIA
Ismanira tidak pernah biar Zayn Rayyan bersendirian - Saksi

Saksi berkata, kebiasaannya Ismanira (gambar) dan dua anak lelakinya menuruni anak tangga blok mereka ke parkir motosikal setiap pagi untuk menghantar kanak-kanak itu ke sekolah dan taska. - Gambar fail
PETALING JAYA: Saksi pembelaan keempat kes pengabaian Allayarham Zayn Rayyan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, bahawa Ismanira Abdul Manaf, 30, tidak pernah dilihat meninggalkan kedua-dua anaknya bersendirian di kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai sepanjang menetap di perumahan itu sejak 2019.
Ringkasan AI
- Saksi pembelaan keempat, Umi Syafiqah Rohizal, menyatakan bahawa Ismanira Abdul Manaf tidak pernah dilihat meninggalkan anak-anaknya bersendirian di Apartment Idaman, Damansara Damai sejak 2019, namun keterangan beliau dipersoal semasa disoal balas oleh pihak pendakwaan.
- Ismanira diperintah membela diri atas pertuduhan mengabaikan anak autistiknya, Zayn Rayyan, manakala suaminya Zaim Ikhwan telah dilepas dan dibebaskan; perbicaraan bersambung pada 4 Ogos 2025.
- Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan, dengan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi, saksi pembelaan keempat itu memberitahu tidak pasti waktu Ismanira menghantar anak-anaknya ke sekolah.
Sebelum ini, Ismanira ada memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia selalu keluar rumah untuk menghantar Zayn Rayyan ke sekolah pada pukul 7.30 pagi sebelum mengambilnya semula pada pukul 11.50 pagi.
Nur Sabrina: Jelaskan kepada mahkamah, setiap hari puan pergi kerja pukul berapa?
Umi Syafiqah: Antara pukul 9 hingga 9.30 pagi.
Nur Sabrina: Jadi kalau puan cakap, puan nampak Ismanira dengan anak-anak (waktu) pagi tu dalam pukul 9.30 pagilah?
Umi Syafiqah: Tidak pasti.
Nur Sabrina: Tadi dalam keterangan, puan cakap nampak Ismanira ni bawa anak-anak nak pergi sekolah. Tapi bila saya tanyakan pukul berapa, sekarang puan cakap tak pasti. Kenapa tak pasti?
Umi Syafiqah: Kadang-kadang saya ini masuk kerja lambat.
Nur Sabrina: Saya katakan kepada puan, sebenarnya puan tak nampak pun Ismanira dengan anak-anak pada sebelah pagi ini. Puan setuju ke tak setuju?
Umi Syafiqah: Saya tak setuju.
Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Aqhari Durranie Aziz.
Pada Isnin lalu, Ismanira diperintah membela diri manakala suaminya, Zaim Ikhwan dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.
Pasangan itu sebelum ini bersama-sama didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023, pukul 9.55 malam di sekitar kawasan blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami